DIREKTIF JABATAN HAL EHWAL VETERAN ATM

2stars

KP JHEV Dato Dzulkarnain

Assalamualaikum  Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Subhanahu Wataala, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam. Alhamdulillah, syukur dan segala puji-pujian kepada Allah Subhanahu Wata'ala alas kurniaan pangkat selaku Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran yang ketujuh. Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia, khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Pertahanan Malaysia dan Yang Berbahagia Panglima Angkatan Tentera kerana memberikan kepercayaan penuh kepada saya untuk memimpin jabatan ini. Sejujurnya, pelantikan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang penuh dengan cabaran bukan sahaja untuk menentukan kebajikan veteran ATM, tetapi juga untuk memartabatkan Jabatan Hal Ehwal Veteran berada di kedudukan yang sewajarnya.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Mejar Jeneral Dato' Mohamad Khir bin Abdullah yang telah banyak menyumbang pengorbanan, curahan bakti dan keringat dalam mengemudi JHEV sebelum ini. Sesungguhnya khidmat bakti, jasa dan budi baik beliau amat dihargai dan akan sentiasa dikenang. Dalam konteks yang sama, saya juga komited untuk menggembleng segala usaha, kudrat dan buah fikiran demi meneruskan kecemerlangan yang telah dilakarkan oleh para Ketua Pengarah yang terdahulu, lnsya Allah. Justeru, saya menyeru agar semua lapisan kakitangan JHEV, berganding bahu dan berdiri teguh bersama-sama saya untuk memperkasakan organisasi ini agar sentiasa efisyen di dalam memberikan perkhidmatan kepada para veteran serta dipandang tinggi oleh masyarakat.

Sebagai benteng pertahanan negara, jasa dan khidmat bakti yang telah disumbangkan oleh pejuang terdahulu amat besar di dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terperlihara. Justeru, kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa prihatin di dalam memastikan kebajikan veteran sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya. Di dalam menentukan manisfestasi kepimpinan tertinggi ini tercapai, saya akan memfokuskan empat teras utama iaitu; Pendekatan Media, Pendekatan Fizikal, Kerjasama Antara Agensi dan Pemerkasaan JHEV supaya segala usaha yang dilaksanakan terarah untuk merealisasikan visi dan misi yang telah digariskan.

Pendekatan Media. Di dalam memartabatkan peranan JHEV dan memupuk kesedaran di kalangan veteran dan masyarakat, peranan media adalah amat penting. Justeru, fokus utama saya adalah untuk mempromosikan JHEV secara lebih agresif dan meluas melalui pelbagai platform media massa. Situasi dunia sekarang yang tidak bersempadan dan dihubungkan dengan network connectivity membolehkan maklumat dapat dihebahkan dalam masa yang singkat dengan capaian yang lebih meluas. Peluang ini hendaklah dimanfaatkan semaksima mungkin untuk mempromosikan perkhidmatan JHEV, memudahkan urusan veteran secara atas talian, dan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat terhadap pengorbanan para veteran. Mentaliti "Service Never Stop" akan dipupuk di kalangan veteran di dalam menyuburkan sifat kecintaan kepada negara dengan veteran digalakkan untuk terus menyumbangkan bakti kepada masyarakat melalui pelbagai bidang yang bersesuaian. lni juga secara tidak langsung dapat menaikkan imej JHEV dan veteran di kalangan masyarakat.

Pendekatan Fizikal. Pendekatan secara maya yang dilaksanakan tidak akan sempurna tanpa interaksi secara fizikal. Justeru itu, aktiviti-aktiviti dan program yang melibatkan veteran, warga tentera, stakeholders dan masyarakat akan ditingkatkan. Pendekatan ini secara langsung akan dapat memberi penerangan yang lebih jelas kepada kumpulan sasar berkaitan peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh JHEV. lnteraksi dengan PERHEBAT juga akan dipertingkatkan di dalam usaha menyediakan kursus-kursus yang relevan untuk mewujudkan veteran yang berdaya saing dan mampu berdikari pasca perkhidmatan.

Kerjasama Antara Agensi. Di dalam menentukan veteran mempunyai peluang dan berdaya saing di dalam memenuhi kehendak dan keperluan semasa, JHEV akan meningkatkan kerjasama dengan agensi awam, badan bukan kerajaan dan organisasi korporat. Hubungan JHEV dengan badan-badan berkaitan akan ditingkatkan melalui kerjasama strategik yang menumpukan kepada aspek peningkatan sosioekonomi dan kebajikan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. JHEV juga berhasrat untuk memperkembangkan network ini ke peringkat yang Jebih tinggi iaitu di peringkat serantau melaui platform ASEAN dan antarabangsa melalui penglibatan aktif di dalam World Veteran Federation. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk pertukaran maklumat dan kepakaran, malah boleh memberi pasaran yang lebih Juas kepada usahawan veteran kelak.

Pemerkasaan JHEV. Semua usaha di atas hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan sekiranya JHEV sendiri berada di Jandasan yang betul. Justeru, struktur dan organisasi JHEV akan diperkasakan secara berterusan di dalam memastikan perkhidmatan dapat diberikan dengan lebih efektif dan efisyen. Situasi semasa dan masa hadapan memerlukan keputusan dibuat dengan pantas dan tepat. Justeru, teknologi sedia ada perlu dioptimumkan supaya semua peringkat kakitangan memperoleh maklumat yang tepat dalam masa yang pantas. la juga menuntut semua bahagian untuk bekerja dalam satu kumpulan dan bukan lagi secara berasingan (in silos). Dengan cara ini, segala usaha dan tindakan yang dilaksanakan adalah selari dan menuju ke arah mencapai objektif organisasi. Sifat mengiyakan sahaja arahan pihak atasan hendaklah dikikis. Semua peringkat kakitangan perlu berani memberikan pendapat masing-masing dengan cara yang betul dan berhemah, dengan erti kata lain, tidak ada pandangan yang tidak baik. Berasaskan keempat-empat teras utama di atas, saya yakin JHEV ATM akan mampu mengorak langkah menjadi sebuah organisasi yang mantap dan cemerlang dengan kerjasama erat dari semua lapisan kakitangan. Akhir kata, marilah kita sama - sama menggembleng tenaga, usaha dan buah fikiran di dalam memastikan JHEV ATM berada di landasan yang sewajarnya di dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan bukan sahaja kepada warga veteran, malah mampu memberi sumbangan dan impak positif kepada agama, bangsa dan negara. Sekian, terima kasih.

 

"PERTAHANAN  NEGARA TANGGUNGJAWAB  BERSAMA"

sign-kp

 

** Please be noted, this content is only available in BM version.