GERIK 28 Ogos 2014- Sebanyak 30 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada Persatuan Veteran ATM Cawangan Temengor di sini dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-57.

 

Anugerah yang disampaikan bagi mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka itu disempurnakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM negeri, Leftenan Kolonel Zainal Abidin Zainudin di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed dan Ketua Persatuan Veteran ATM Cawangan Temengor, Hairuddin Mat Dom.

Hasbullah ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, penghargaan tersebut wajar diberikan kepada mereka yang sanggup berjuang dan bergadai nyawa untuk mempertahan negara sejak dahulu lagi.

"Ancaman komunis dan anasir subversif adalah musuh nombor satu negara pada ketika itu yang sentiasa mencari peluang untuk menggulingkan kerajaan, selain mahu membuat huru-hara di Malaysia.

"Sehubungan itu, pengorbanan besar mereka ini wajar diiktiraf oleh kerajaan termasuk diberikan imbuhan berupa wang ringgit," katanya dalam majlis tersebut yang diadakan di Dewan Persidangan Gerik baru-baru ini.

Kesemua penerima pingat PJM itu merupakan mereka yang berumur antara 50 hingga 72 tahun dan pernah bertugas sekitar tahun 1959 sehingga 1989 di Semenanjung Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, seorang penerima PJM, Khalid Mohd Yusof, 56, dari Felda Bersia di sini berkata, anugerah yang diterimanya itu membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf jasa bekas anggota tentera di negara ini.

"Masih segar dalam ingatan apabila lima rakan saya terkorban akibat diserang oleh komunis di Ulu Legong, Baling, Kedah pada 1981 dahulu.

"Namun, saya terselamat dan masih hidup di dalam negara yang aman damai sekarang," kata Khalid yang pernah berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja di Kedah dan Sabah, dari tahun 1979 hingga 1989.

 

Sumber : Utusan Malaysia