KUALA LIPIS 27 Mei 2014- Seramai 30 vete­ran tentera yang pernah bertugas semasa operasi menentang komunis dahulu diberikan penghargaan dengan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) oleh kerajaan di Felda Sungai Koyan 3 di sini kelmarin.

Majlis penyampaian pingat kepada veteran dalam kalangan ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Sungai Koyan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEVATM) negeri, Mejar Mohd. Razali Abdul Rahman.

Mohd. Razali berkata, anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa veteran tentera yang pernah terlibat operasi menentang komunis dari 1969 hingga 1990.

"Anugerah ini memberi impak bahawa sumbangan veteran tentera supaya diteladani oleh anggota tentera hari ini dengan bersiap siaga sepanjang masa memikul amanah dan integriti secara profesional untuk mempertahankan kedaulatan negara serta mengekalkan keselamatan.

"Saya bangga melihat veteran tentera menunjukkan semangat tinggi pada hari ini, sekali gus mengembalikan nostalgia semasa mereka berkhid­mat dahulu," katanya di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Cawangan PBTM Sungai Koyan Tiga, Abdul Rahim Said.

Menurut Mohd. Razali, jabatan itu yang ditubuhkan pada 2001 berfungsi menangani semua masalah kebajikan veteran tentera, balu dan anak masing-masing supaya jaminan kehidupan mereka lebih selesa menerusi kemudahan bantuan tertentu.

Katanya, anugerah berkenaan amat signifikan kerana ramai daripada vete­ran tentera masih menyambung khidmat bakti mereka kepada masyarakat sebagai ketua kampung, imam masjid dan pimpinan masyarakat.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memuji usaha JHEVATM dan PBTM kerana menjaga kebajikan veteran tentera negeri ini sejajar dengan manifestasi menghargai sumbangan golongan itu yang bergerak di garisan depan.

"Selain pelbagai bantuan kebajikan, penganugerahan PJM juga sebagai tanda kerajaan mengiktiraf perjuangan mereka sebelum dan pasca merdeka.

"Saya berharap PBTM perlu mengesan veteran (bekas) tentera yang berkhidmat semasa zaman darurat dan konfrantasi untuk diberi bantuan kebajikan termasuk anugerah pingat berkenaan," katanya.