PASIR MAS 4 Jun 2014- Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesan sebanyak 4,653 orang veteran tentera di negeri ini dan Terengganu masih belum membuat tuntutan berkaitan dengan pencen, faedah persaraan dan bantuan kebajikan.

Pengarah JHEV Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddiq Sulaimanberkata, pihaknya menyeru kepada pesara tentera dan waris mereka supaya membuat semakan di laman sesawang JHEV atau datang terus ibu pejabat jabatan tersebut untuk tindakan lanjut.

Jadi saya mohon kepada veteran atau waris untuk berbuat demikian bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang disediakan.

Ini adalah tanda terima kasih kerajaan kepada golongan berke­naan atas sumbangan yang diberikan ketika mempertahan tanah air daripada ancaman musuh satu masa dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Turun Padang JHEV Kelantan dan Terengganu dan Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada anggota veteran di dewan utama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong dekat sini hari ini.

Penyampaian pingat itu melibatkan 50 bekas tentera dari kawasan Meranti, Chetok, Bukit Tuku dan Tanah Merah.

Mengulas tentang program turun padang itu, Abu Bakar memberitahu, aktiviti ini menjadi platfrom pihaknya untuk mendapatkan maklumat daripada bekas tentera tentang perkembangan semasa mereka.

Ini merupakan acara berkala anjuran pihak JHEV dan melalui program ini saya lihat ramai golongan veteran mendapat maklumat lebih terperinci berkaitan dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada mereka.

Hasrat kita ialah mahu mereka mendapat maklumat yang tepat daripada pihak JHEV.

Saya juga mahu mereka panjangkan maklumat ini kepada rakan-rakan yang tidak dapat menghadiri program ini agar semua bekas tentera mendapat manfaat," ujarnya.

 

Sumber : Utusan Malaysia