KUALA LUMPUR 26 Jun - Kira-kira 5,000 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang menyertai Program Keusahawanan Bumiputera menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Syarikat Swiftlet Eco Park (SWEP) dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

 

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud berkata, program anjuran SWEP itu bertujuan memberi peluang kepada veteran ATM untuk menjana pendapatan berterusan selepas mereka menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera.

"Mereka ini akan memfokuskan kepada perniagaan burung walit di bawah Skim Kepentingan Kongsitani Perladangan Burung Walit.

"Skim yang diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ini akan membantu veteran ATM ini menguruskan perniagaan masing-masing termasuklah melibatkan bidang pelaburan," katanya selepas menyampaikan anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 60 anggota veteran ATM bagi kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan SWEP, Ahmad Tarmize Mohd. Yusoff, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shiftlet Eco Park (SEPG), Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan; Pengarah JHEV Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jumali Jabon dan Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Faridah Borhan.

Dalam pada itu, Mohd. Noor berkata, penganugerahan tersebut bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota veteran kerana menyumbang bakti dan jasa kepada negara.

"PJM ini dianugerahkan kepada anggota veteran atau bekas anggota tentera yang terlibat dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 20 tahun operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM).

"Selain itu, anggota yang berkhidmat selama 21 tahun dalam operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dan anggota yang telah terkorban, cedera atau menjadi kurang upaya kerana berjuang mempertahankan kedaulatan negara dalam tempoh yang sama," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Tarmize berkata, peluang program tersebut mampu memberi pendedahan kepada anggota veteran untuk menjadi usahawan sekali gus menjana pendapatan tambahan, simpanan, pendidikan anak, kaedah melindungi modal dan mengatasi inflasi.

"Program ini juga untuk menarik lebih ramai golongan bumiputera dalam sektor perusahaan sarang burung walit," katanya.

Sumber : Utusan Online