JITRA - Anggota tentera disaran agar menceburi bidang pertanian untuk menampung kehidupan mereka selepas bersara.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum berkata ini kerana produk hasil pertanian mendapat permintaan yang tinggi dan paling mudah diceburi.

"Sektor pertanian bukan sahaja setakat berkebun tetapi meliputi memproses produk makanan berasaskan pertanian," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci rumah kepada veteran tentera di Kampung Sungai Baru di sini Isnin.

Sementara itu Mohd Johari berkata sebanyak 259 buah rumah baharu dan 245 buah rumah telah dibaik pulih menerusi program 1Malaysia Veteran Recognition sejak 2012 hingga sekarang.

Katanya program yang dilancarkan pada 15 Dis 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak itu adalah bagi meringankan beban yang dihadapi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohd Johari berkata setakat ini pihaknya menerima 2,700 permohonan daripada veteran ATM menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.

"Pada tahun 2012 kita telah bina 27 rumah baharu dan baik pulih 22 rumah, pada 2013 sebanyak 130 buah rumah baru dibina dan 70 buah dibaik pulih sementara pada 2014, 50 buah rumah dibina dan 121 buah dibaik pulih.

"Untuk tahun ini sebanyak 84 permohonan telah diluluskan merangkumi pembinaan 52 buah rumah baharu dan 32 rumah untuk dibaik pulih. Kita juga bersyukur di mana kerajaan turut meluluskan peruntukan untuk proses baik pulih 116 buah rumah lagi baru-baru ini," katanya.

Mohd Johari berkata proses pembinaan rumah baharu dan proses baik pulih rumah dilakukan sepenuhnya oleh pegawai dan anggota dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Beliau berkata kos pembinaan rumah baharu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bernilai RM45,000 bagi Semenanjung dan RM50,000 bagi Sabah dan Sarawak dengan keluasan rumah 720 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Mohd Johari berkata untuk proses baik pulih pula, sebanyak RM11,000 diperuntuk bagi Semenanjung dan RM12,000 bagi Sabah dan Sarawak.

Sementara itu bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Nak Wiang a/l Lin Sin, 61, berterima kasih dan beryukur kerana menerima sebuah rumah baharu daripada kerajaan.

Beliau yang tinggal di Kampung Sungai Baru dan menghidap penyakit angin ahmar sejak 1998 berkata rumah baharu itu akan memberi keselesaan kepadanya dalam menjalani kehidupan bersama keluarga.

Nak Wiang yang mempunyai empat anak bersara pada 1995 semasa berkhidmat di Pangkalan TLDM Tawau.

 

Source : BERNAMA