TANAH MERAH - Penderitaan seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Bechah Peleting, dekat sini, tinggal selama empat tahun di dalam kontena berakhir apabila menerima bantuan rumah daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

Pesara terbabit, Hassan Kutty Muhammad, 58, berkata, selepas menamatkan perkhidmatan dalam tentera pada 1993, dia bersama isteri dan empat anak tinggal menumpang di rumah seorang adiknya di kampung berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dia sekeluarga terpaksa berpindah dan tinggal di dalam kontena milik seorang saudara mereka apabila rumah didiaminya itu diambil semula oleh adiknya untuk diubahsuai.

“Saya dan isteri hanya kerja kampung, jadi kalau nak harapkan pendapatan kami untuk bina sendiri rumah, memang kami tak mampu jika tak dapat bantuan daripada JHEV.

“Jadi, kami amat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan JHEV kerana memenuhi impian kami sekeluarga untuk memiliki rumah yang lebih selesa,” katanya.

Hassan Kutty ditemui pada majlis penyerahan kunci rumah baharu itu yang disempurnakan Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud di Kampung Bechah Peleting, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah JHEV ATM cawangan Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman dan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid.

Sementara itu, Mohd Noor memberitahu, rumah bernilai RM45,000 tersebut dibina melalui Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia (1MVHRP) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS7).

Katanya, program itu adalah usaha berterusan JHEV untuk memberi keselesaan dan membantu meningkatkan taraf kehidupan bekas anggota tentera yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Usaha bina baru dan baik pulih rumah di bawah program (1MVHRP) ini adalah penghargaan kerajaan terhadap jasa bakti dan pengorbanan veteran ATM kepada negara.

“Tahniah saya ucapkan kepada penerima (Hassan Kutty) dan juga penghargaan kepada pegawai serta anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan untuk membina 50 rumah dan baik pulih 34 rumah veteran ATM di seluruh negara tahun ini di bawah program sama yang di biayai sepenuhnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

 

Sumber : Sinar Harian