TERENGGANU, 16 Mei 2014 - "MASA itu hanya ingat mati apabila hampir dihimpit kapal KD Negeri Sembilan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebuah bot nelayan haram dari Thailand ketika menyertai Operasi Samudera Gagah di perairan Perak." ujar bekas tentera laut berpangkat Laskar Kanan Peperangan Paras Permukaan (PPP), Alias Ab Razak, 54, dari Kampung Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, Terengganu, berkongsi ceritanya dengan Sinar Harian ketika menyertai Operasi Samudera Gagah 1986.Ketika itu, Alias bersama pasukannya berjaya mengekori rapat bot penceroboh. Dia bertindak melompat ke atas bot berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.

“Secara tiba-tiba keadaan ombak yang agak kuat, saya hampir terjatuh ke dalam laut tetapi sempat berpaut pada bot hampir lima minit sebelum berjaya naik semula,”.“Alhamdulillah, saya dan rakan sepasukan berasa lega walaupun melalui detik cemas, kami meneruskan tangkapan,” jelas Alias.
Pembabitan Alias dalam badan beruniform yang sememangnya menjadi impiannya sejak kecil. Katanya, lima daripada 200 anak muda Terengganu yang berjaya melepasi pelbagai saringan ketika sesi temu duga di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman pada 1979.
“Saya bertuah dipilih untuk menjalani latihan selama enam bulan termasuk di Woodlands, Singapura.
“Pengalaman sebagai pelatih menjadikan saya lebih kuat dari segi fizikal dan mental. Walaupun kami dilatih begitu tegas, tetapi ia memberi pengajaran berguna sehingga kini,” katanya.

Ketika dalam latihan, Alias dan pasukannya pernah membersihkan najis manusia menggunakan tangan kerana pegawai berang dengan sikap pelatih yang tidak bertanggungjawab membuang air besar di tempat yang tidak sepatutnya.

“Kami disuruh mencalit najis itu seorang demi seorang bagi membersihkannya kerana dianggap tidak mengutamakan kebersihan, walaupun kesalahan itu dilakukan seorang daripada pelatih di situ,” katanya sambil ketawa mengingatkan kembali kenangan itu. Bagi Alias, pengalaman mencabar seperti itu tidak mematahkan semangatnya untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara kerana dia nekad untuk berkorban demi negara tercinta.

Selepas tamat latihan, bapa lima anak ini ditugaskan di atas kapal pertamanya iaitu KD Sri Sarawak, 1980.“Selama dua hari dua malam, saya mabuk ketika perjalanan dari Perak ke Labuan. Maklumlah pertama kali melalui jalan laut yang memakan masa beberapa hari,” katanya.Ketika di perairan Sabah, Alias menceritakan pengalaman mencemaskan ketika bertempur dengan lanun perairan Sabah dan Sarawak. Pasukannya terpaksa melepaskan tembakan ke udara dan gas pemedih mata ke arah kapal lanun selepas aksi kejar mengejar memakan masa hampir separuh hari.

“Usaha kejar mengejar kapal kami tidak berjaya kerana kapal musuh lebih kecil agak mudah menyusup masuk ke kawasan perairan cetek.
"Kami kemudiannya melepaskan tembakan demi tembakan untuk mematahkan tiang lampu yang dipasang pada kapal lanun."Alhamdulillah akhirnya mereka menyerah diri secara baik dan tiada pergelutan berlaku ketika tangkapan dibuat,” katanya.

Jiwa pahlawan
Alias begitu komited dengan setiap tugasan yang diberikan. Dia ditukar ke bahagian Rejimen Keselamatan untuk menjaga gedung senjata, melatih sukarela bagi Pasukan Sukarela Nuklear Sri Kelantan dan juga menjadi tenaga pengajar kawad kaki untuk Kadet Laut di sekolah sekitar Terengganu.
Namun akibat kekangan kewangan, Alias mengambil keputusan untuk berhenti sebagai tentera pada 1992 dan mula terlibat dalam perkhidmatan awam sebagai pengawal keselamatan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini memasuki tahun ke-20.

“Sudah 20 tahun saya menjadi pengawal keselamatan di RTM seluruh negeri dan kini bertugas di RTM Pulau Pinang,” jelasnya.Bagaimanapun, kenangan bersama rakan seperjuangan ketika berada dalam pasukan tentera suatu ketika dahulu sering membuatkan Alias tersenyum seorang diri apabila terkenang kisah mencuit hatinya.

Baru-baru ini Alias dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang disampaikan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman. Dalam meniti usia serta menanggung kesakitan akibat daripada penyakit uluran yang baru selesai menjalani pembedahan awal April lalu, jiwa pahlawan serta semangat juang Alias berhubung soal keselamatan negara begitu jelas terpancar pada wajahnya.
Malah sehingga kini, Alias masih mengambil tahu mengenai soal keselamatan negara melalui media cetak dan elektronik malah masih bersemangat membincangkan isu kenegaraan bersama rakan lain.