KUCHING 2 Nov 2014 - Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) sedang mengenal pasti kawasan bagi pembinaan rumah mampu milik untuk dicadangkan kepada kerajaan negeri.

 

Presidennya, Thomas Ling berkata, pembinaan rumah mampu milik tersebut adalah bagi memudahkan veteran tentera di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Katanya, setelah dikenalpasti lokasi berkenaan, perkara itu akan dibawa kepada kerajaan negeri melalui Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerip Susil yang merupakan Penaung Pusat Perkhidmatan PVTMS Bahagian Kuching.

“Kita berharap agar tanah yang akan dikenal pasti nanti akan diberikan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan rumah mampu milik melalui kerjasama awam-swasta (PPP).

“Selain itu, PVTMS menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 di negeri ini. Kita menyeru agar orang ramai, organisasi swasta mahupun badan berkanun bersama-sama menyumbang dalam Tabung Pahlawan 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2014 Peringkat Negeri Sarawak oleh Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerip Susil, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Senior Asisten Komisionar, Burhanuddin Abdul Majid dan Timbalan Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Kapten (B) Sharuddin Omar.

Dalam majlis itu, seramai 21 veteran tentera yang pernah berkhidmat semasa era komunis menerima anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Sementara itu, seorang penerima pingat, Belun Ganing, 67, begitu terharu dengan pengiktirafan kerajaan berikan kepada veteran tentera di negara.

“Tiada apa-apa yang saya dapat ucapkan, cuma terima kasih,” ujar Belun yang berkhidmat selama 22 tahun dalam tentera.

Bagi seorang penerima pingat, Sapiie Sulong, 69, memberitahu, pingat itu akan disimpannya dengan baik yang akan ditunjukkan kepada cucu-cucunya.

“Pengiktirafan ini menunjukkan kerajaan begitu prihatin terhadap sumbangan dan kebajikan veteran tentera termasuk yang telah berjuang pada zaman komunis dahulu,” katanya.

 

Sumber : Utusan Malaysia