MELAKA - Sejak penubuhan Persatuan Bekas Askar British Malaysia (PBAB) pada 2009, persatuan ini membawa manfaat besar kepada lebih 200 ahli terdiri daripada bekas tentera yang pernah berkhidmat di bawah British termasuk balu mereka.

 

Meskipun begitu, Presidennya, Che Onn Neamat berkata, masih ramai lagi yang tidak mendaftar di bawah persatuan tersebut.

Justeru, katanya, PBAB sedang berusaha mengesan rakyat negara ini yang pernah berkhidmat dengan pasukan itu sekitar 1948 hingga 1966 untuk mempertahankan negara ini daripada ancaman komunis dan konfrontasi dengan Indonesia.

“Dianggarkan ribuan rakyat negara ini pernah berkhidmat dengan tentera British sebelum perkhidmatan pasukan itu dibubarkan sepenuhnya pada 1972. Mereka yang masih hidup rata-ratanya berusia 65 tahun dan ke atas dan ada juga antaranya sudah meninggal dunia.

“Mereka yang memilih untuk tidak meneruskan khidmat sebagai tentera seperti saya kini mula terasa perit kerana kebanyakan kami tidak menerima pencen. Lebih perit lagi jika kita ada penyakit.

"Atas sebab ini saya dan beberapa rakan mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Bekas Askar British pada Mei 2009 bertujuan menjaga kebajikan mereka,” katanya ketika ditemui semasa menyerahkan cek bantuan bernilai RM1,547 kepada balu bekas tentera British, Ainon Ishak, 84 di Kampung Bukit Katil di sini.

Suami Ainon, Allahyarham Lans Koperal Kassim Abdullah mula berkhidmat dengan tentera British pada 1949 hingga 1965 dan meninggal dunia pada 2012.

Sementara itu, Che Onn yang kini berusia 74 tahun berkata, sumbangan tersebut adalah dalam bentuk bantuan kebajikan yang diberikan secara tahunan kepada bekas tentera British serta balu yang memerlukan.

Menurutnya, ia adalah daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dinamakan Liga Diraja Bekas Askar Komanwel (RCEL) dan peruntukan kewangannya diperoleh daripada penderma rakyat British.

“Sumbangan ini hanya diberikan kepada bekas tentera British atau balu yang betul-betul memerlukan kerana ia bukan diperolehi daripada Kerajaan British sebaliknya ia daripada sumbangan orang ramai.

“Bermula dari tahun 2010 sehingga 2014, RCEL telah menyalurkan bantuan berjumlah kira-kira RM1.2 juta kepada bekas tentera British dan balu-balu yang memerlukan,” katanya.

Jelas Che Onn lagi, meskipun negara mencapai kemerdekaan pada 1957, namun, kerajaan British masih lagi menempatkan askarnya bagi menstabilkan keamanan di tanah air ini.

Katanya, sebaik tentera British di negara ini dibubarkan pada 1972, kerajaan British telah mengamanahkan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) mengambil alih untuk menjaga hal-hal kebajikan bekas tentera British.

“Pada awalnya, PBTM telah diamanahkan untuk mentadbir RCEL bagi menjaga hal-hal kebajikan bekas tentera British, bagaimana ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.

"Sehinggalah penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) pada 2001 sekalipun kami bekas tentera British tidak diberitahu tentang perkara ini. Walaupun kami juga adalah ahli PBTM.

“Akhirnya, pada 2009, kami memutuskan untuk menubuhkan persatuan sendiri untuk bekas tentera British yang dinamakan Persatuan Bekas Askar British atau PBAB dengan tujuan untuk mengumpulkan mereka yang pernah berkhidmat dengan tentera British suatu ketika dahulu termasuk balu-balu mereka,” katanya.

Menurutnya, selang beberapa bulan penubuhan PBAB, beliau telah ke London untuk bertemu dengan Setiausaha Agung RCEL, Paul Davis dan telah menceritakan tentang masalah dihadapi terutama soal kebajikan bekas tentera British yang masih tidak terbela.

“Akhirnya, pihak RCEL telah bersetuju untuk mengambil persatuan kami menjadi sebahagian daripada gabungan di bawah mereka. Malah, Paul Davis sendiri telah datang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan majlis serahan pentadbiran RCEL daripada PBTM kepada PBAB.

“Lebih membanggakan lagi, ketika Persidangan RCEL ke-31 di Malta, semua delegasi yang terdiri daripada negara-negara Komanwel telah memberikan sokongan sepenuhnya kepada kami supaya mengambil alih RCEL.

"Di samping mereka turut bersetuju persidangan RCEL kali ke-32, agar diadakan di Kuala Lumpur pada tahun hadapan. Ia sekali gus melakarkan dua kejayaan besar PBAB,” katanya.

Tambahnya, dengan tertubuhnya PBTB, banyak bantuan yang disediakan menerusi JHEV dapat disalurkan kepada bekas tentera British termasuk dari RCEL sendiri.
Tidak ramai tahu.

 

Kemudahan disediakan

Che Onn berkata, tidak ramai bekas tentera British atau balu-balu mereka yang mengetahui bahawa Jabatan Hal Veteran ATM telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk bekas askar British.

Menurutnya, antara kemudahan itu ialah rawatan perubatan secara percuma termasuk rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

“Bagaimanapun sebelum membuat pembayaran seseorang bekas tentera itu perlu merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran, Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan kepastian sama ada mereka layak mendapat rawatan percuma.

“Sememangnya bekas tentera British tidak menikmati rawatan percuma sebelum ini tetapi kerajaan telah mengubahnya beberapa tahun lalu bagi membolehkan golongan itu turut menerima kemudahan yang sama. Saya percaya ramai bekas tentera British dan balu-balu mereka tidak mengetahui kemudahan rawatan percuma yang disediakan kerajaan ini,” katanya.

Che Onn berkata, walaupun dirinya adalah bekas tentera British, namun beliau dan rakan-rakan mempunyai semangat patriotisme yang cukup tinggi kerana Malaysia merupakan tanah tumpah darah dan negaranya.

“Memang kerajaan British yang bayar sumber pendapatan kami ketika itu, tetapi kami bekerja dan berjuang untuk agama dan negara.

Sejak tahun 1948 hingga 1960 tanah air kita dibelenggu dengan ancaman pengganas komunis dan pada sekitar tahun 1963 hingga 1966 pula negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia.

“Pada ketika era itu, apakah kemudahan ketenteraan yang dimiliki oleh Malaya. Justeru, askar di bawah Britishlah yang mempertahankan negara ketika itu. Kita perlu menghargai pengorbanan mereka. Mereka berjuang untuk negara kita sendiri, bukannya England,” katanya.

Che Onn menjelaskan bahawa sejarah tidak pernah berbohong, jus-teru, semua masyarakat terutama generasi masa kini perlu mempelajari dan memahami sejarah.

“Hari ini, ada pihak tertentu cuba mengelirukan masyarakat dengan menuduh kononnya orang-orang Melayu yang berkhidmat di bawah tentera British ketika itu adalah anjing British.

“Mereka lupa, kami semua berjuang adalah kerana mempertahankan kedaulatan negara dan undang-undang. Oleh sebab British memerintah ketika itu, kita harus patuhlah kepada pemerintah,” katanya.

Che Onn berharap, bekas anggota tentera British atau balu dapat menghubunginya di talian 012-6590136 dalam usaha untuk meningkatkan jumlah keahlian persatuan tersebut.

 

Sumber : Sinar Harian