SIBU  – Nikmat kemakmuran, keamanan dan keselamatan yang dikecapi oleh rakyat ketika ini tidak datang dengan sendiri, tetapi hasil pengorbanan para pahlawan terdahulu.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, perjuangan dan pengorbanan veteran anggota keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara perlu dihargai oleh semua orang.

“Ramai antara mereka gugur di medan perang dan tidak kurangnya hilang upaya akibat kecederaan yang dialami demi mempertahankan negara yang kita cintai ini.

“Tanpa mereka, siapalah Malaysia dan Sarawak. Keamanan kita kecapi sekarang adalah atas usaha dan pengorbanan mereka semua. Justeru itu, jangan sesekali melupakan jasa mereka yang berkorban kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh dalam Majlis Makan Tengah Hari Sempena Sambutan Hari Pahlawan Ke-55 dan Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) Peringkat Negeri Sarawak 2015 serta Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di sini, kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharum; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak, Thomas Ling.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, pejuang tidak mengharapkan belas ihsan atau meminta agar jasa mereka dibalas wang ringgit, tetapi sebagai rakyat yang prihatin dan mengenang jasa, kita harus memainkan peranan membantu perwira-perwira berkenaan.

Dalam pada itu, Adenan memberitahu, bagi mengenang jasa pahlawan, kerajaan telah menganjur KTP sebagai satu usaha mengumpul sumbangan bagi mengisi tabung kebajikan bekas tentera.

 

Sumber : Utusan Malaysia