JOHOR BAHRU 11 Sept. - Rakyat khususnya generasi muda perlu menghayati dan menghargai jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana kebebasan yang diperolehi hari ini merupakan hasil daripada perjuangan anggota keselamatan telah berkorban nyawa, darah dan keringat demi memastikan keamanan negara.

Beliau berkata, kerajaan membuktikan bahawa pengorbanan mereka amat dihargai dengan mengadakan kempen rayuan derma Hari Pahlawan.

"Meskipun perjuangan dan pengorbanan mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, namun dana yang dikumpulkan dapat digunakan untuk memberi bantuan kebajikan kepada anggota dan keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan.

"Kempen ini juga bertujuan memberi peluang kepada generasi muda terutamanya pelajar sekolah rendah dan menengah mahu pun penuntut institusi pengajian tinggi supaya diberi pendedahan terhadap maksud tersirat di sebalik sambutan Hari Pahlawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran Tabung Rayuan Hari Pahlawan peringkat negeri 2014 di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Majlis turut menyaksikan 10 agensi kerajaan dan swasta menyerahkan sumbangan berjumlah RM262,500 kepada tabung tersebut antaranya oleh Johor Corporation (JCorp), SP Setia Bhd., Eco Tropics Development Sd. Bhd. dan Yayasan Sayang Mutiara.

Mohamed Khaled berkata, adalah tanggungjawab seluruh rakyat untuk memelihara semangat kepahlawanan dan menjaga kebebasan yang dimiliki pada masa sekarang agar ia tidak jatuh dan terbelenggu semula ke tangan musuh.

Justeru, katanya, rakyat perlu sentiasa bersiap sedia dalam semua aspek termasuk memperkasakan ekonomi, menaik taraf pendidikan, memartabatkan agama, meningkatkan soal keselamatan dan memperkukuhkan perpaduan antara kaum.

 

Sumber : Utusan Malaysia