ROMPIN - Semua veteran angkatan tentera diminta mendaftar dengan Persatuan Hal Ehwal Tentera di kawasan mereka dan mengemas kini maklumat bagi membolehkan persatuan menyalurkan kemudahan dan bantuan yang disediakan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Mejar Jeneral Datuk Wira Mohd Noor Daud berkata, sehingga kini jabatan berkenaan melalui persatuan sudah menyalurkan pelbagai bantuan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sejumlah RM2.2 bilion diperuntukkan untuk semua pembayaran termasuk pencen terbitan, bantuan bencana alam dan bantuan untuk anak dan balu.

“Kita perlukan data termasuk alamat dan maklumat terkini bagi membolehkan mereka dikesan untuk sebarang bantuan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Rompin, di sini, semalam.

Beliau berkata, pesara juga boleh menggunakan kemudahan teknologi terkini dengan melayari laman web Jabatan Hal Ehwal Veteran di http://www.jhev.gov.my untuk mendaftar.

Menurutnya, kerajaan banyak mengambil langkah positif untuk menjaga kebajikan anggota veteran  tentera dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk skim untuk balu dan anak mereka.

“Antara kemudahan yang disediakan ialah bantuan sara hidup yang sudah dinaikkan RM300 sebulan, bantuan bencana alam dan bantuan pengurusan jenazah,” katanya. Menurutnya, bantuan banjir sebanyak RM500 kepada semua 6,500 ahli berdaftar di seluruh negara dijangka siap diagihkan pada Mei depan termasuk lebih 1,000 ahlinya di Pahang. Hadir sama, Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Rompin, Mejar Mohd Fauzi Mohd Yassin.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Noor berkata, negara masih memerlukan khidmat pesara anggota tentera dengan melaporkan anasir yang cuba menjatuhkan keamanan negara.

Katanya, pengalaman bekas anggota tentera juga perlu bagi membolehkan mereka terus memberi sokongan kepada kerajaan.

“Walaupun sudah tidak mengangkat senjata tetapi mereka masih boleh memberi kerjasama baik kepada kerajaan dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian