KUCHING – “Kekalkan perpaduan yang dinikmati rakyat di negara pada masa ini dan pertahankan kemerdekaan sampai bila-bila,” pesan veteran tentera yang merupakan bekas anggota Iban Trackers, Awang Raweng, 86.

Beliau yang kini terlantar di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak minggu lalu disebabkan ma­salah usus memberitahu, sekiranya rakyat berpecah-belah, ‘orang luar’ akan mudah untuk mencampuri urusan pentadbiran negara sekali gus kedaulatan negara akan terancam.

Katanya, meskipun beliau kini terlantar di hospital, semangat patriotisme tetap kukuh dan berharap sambutan kemerdekaan akan berjalan lancar.

“Saya terlantar di hospital tidak apa, saya berharap sambutan kemerdekaan negara dapat dihayati oleh kita. Semoga kita terus sehati sejiwa agar kemerdekaan ini kekal selamanya.

“Ingatlah jasa para pejuang kemerdekaan yang menggadaikan nyawa menentang para penjajah dan ia tidak hadir dengan mudah. Ramai yang terkorban kerana cintakan negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Yang turut menziarahi Awang, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Leftenan Kolonel Monday Juhid dan sembilan orang wakil Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sarawak yang diketuai Penasihatnya, Spencer Birai.

Awang merupakan ketua masyarakat di Nanga Skrang, Sri Aman adalah rakyat tunggal dari negara ini dianugerahkan pingat kepahlawanan tertinggi British, George Cross setelah terlibat dalam aksi pertempuran dengan 50 komunis di Kluang, Johor pada 20 November 1951.

Ketika diserang, dua anggota platunnya terbunuh manakala Awang cedera di paha namun beliau yang berusia 19 tahun ketika itu sempat menarik dan melindungi tentera British, prebet G. Hughes daripada ditembak.

Sementara itu, Spencer berkata, perjuangan Awang tidak akan dilupakan apatah lagi beliau menunjukkan semangat kepahlawanan anak Sarawak yang sebenar.

“Beliau berpesan kepada saya untuk memberitahu anak-anak muda yang sambut merdeka jangan sia-siakan perjuangan mereka sebelum ini,” katanya.

 

Sumber : Utusan Malaysia