PASIR MAS 22 Jan. - Kerjaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.291 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu bekas tentera dan keluarga mereka di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah JHEV Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman berkata, agihan tersebut melibatkan bantuan sara hidup, pendidikan, peralatan pesakit dan bencana alam.

Beliau berkata, bantuan tersebut sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada bekas-bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat mempertahankan kedaulatan tanah air satu ketika dahulu.

"Harapan pihak JHVE agar bantuan yang disampaikan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh bekas anggota tentera dan keluarga, selain memberikan keceriaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah bekas anggota tentera, Musa Hassan, 73, yang lumpuh selepas terkena serangan angin ahmar sejak setahun lalu di Kampung Gong Dayak, Tok Uban di sini hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, Abu Bakar turut menyampaikan bantuan dan pingat penghargaan daripada kerjaan kepada Musa sebagai tanda mengenang sumbangan yang diberikan ketika berkhidmat sebagai anggota tentera.

 

Sumber : Utusan Melayu