17 Nov – Pusat Latihan Pasukan Khas Laut yang menjadi kebanggaan Pasukan Khas Laut (PASKAL) telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin. Majlis berkonsepkan 3 dalam 1 ini juga turut diserikan dengan Majlis Penutup Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 dan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 21 orang Veteran PASKAL. Majlis ini telah dilaksanakan dengan penuh meriah, diserikan dengan demonstrasi keupayaan PASKAL dan selari dengan 4 Nilai Teras TLDM iaitu Maruah, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan. Majlis bersejarah ini juga telah dimeriahkan dengan kehadiran jemputan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia, ketua-ketua agensi kerajaan Daerah Manjung, Veteran-veteran PASKAL, keluarga-keluarga penuntut kursus dan semua warga PASKAL.

Pada hari yang bersejarah ini menyaksikan seramai 65 orang penuntut telah lulus yang terdiri daripada 4 orang Pegawai TLDM, 53 anggota LLP TLDM, seorang peserta dari Tentera Laut Bangladesh, seorang peserta dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan 6 orang peserta dari Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM). Kursus Asas Komando pada siri ini telah mencatatkan sejarah baru apabila buat julung kalinya pegawai dan anggota PSSTLDM berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan membuktikkan mereka layak untuk memakai beret Ungu dan Trimedia kebanggaan PASKAL.

​Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 ini telah dilaksanakan bermula 2 Julai sehingga 17 November meliputi beberapa peringkat latihan iaitu Fasa Pemanasan, peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya, peringkat laut, fasa pelarian dan pelolosan dan Hell Week. Peratus kelulusan pada siri kali ini mencatatkan sebanyak 25 peratus daripada 260 orang calon yang melapor kursus. Peratusan peningkatan ini membuktikan transformasi yang dilaksanakan seperti penggunaan kaedah saintifik, sistem permentoran, pemakanan yang seimbang dan tempoh pra pemanasan yang dipanjangkan kepada tempoh 2 bulan dapat meningkatkan jumlah anggota yang lulus tanpa berkompromi soal piawaian, nilai dan kualiti.

Majlis ini turut diserikan dengan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran-veteran PASKAL, individu yang turut sama menyumbang dalam kejayaan pelaksanaan misi PASKAL dan pencipta lagu serta Trimedia PASKAL. Seramai 21 orang Veteran PASKAL telah diberikan penghormatan untuk menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada majlis ini. Pingat ini dianugerahkan kepada veteran PASKAL yang telah berkhidmat di Stesen Luar Pantai TLDM atau lebih dikenali sebagai Gugusan Semarang Peninjau sehingga tahun 1989.

Kejayaan misi Op FAJAR 8 yang dijadikan sebagai satu babak filem PASKAL The Movie merupakan kejayaan yang telah dicapai hasil kerjasama dan bantuan daripada Cawangan Udara TLDM dan krew kapal Bunga Mas 5. Lt Kdr Jason a/l Solomon John TLDM dari Skuadron 501 selaku Komander Pesawat dan Kdr Nazri bin Sharif PSSTLDM, Pegawai Memerintah Kapal BM 5 semasa misi tersebut telah dipilih sebagai penerima pisau tempur PASKAL. Pisau Tempur PASKAL ini merupakan suatu pengiktirafan khas yang diberikan oleh PASKAL kepada individu yang telah membantu dalam menjayakan misi dan operasi PASKAL.

7.​Insignia Trimedia PASKAL merupakan cetusan idea oleh 2 orang bekas anggota PASKAL iaitu PW I PBS (PKL) (B) Hj Mustapa bin Hj Alwi dan BK PKL (B) Syed Ali bin Syed Syarif. Lagu PASKAL pula yang dinyanyikan dengan penuh semangat dan bangga oleh setiap warga PASKAL merupakan hasil karya BK PGM (B) Shahidan bin Haron, bekas anggota Pancaragam Pusat TLDM. Ketiga-ketiga individu ini turut diberikan penghargaan semasa majlis dengan penyampaian cenderahati bagi menghargai sumbangan kepada PASKAL.

#CopyRightTenteraLautDirajaMalaysia

LampiranSaiz
img_5238.jpg7.34 MB
img_5532.jpg5.73 MB
img_5597.jpg5.32 MB
img_5606.jpg7.1 MB
img_5618.jpg8.9 MB
img_5622.jpg7.72 MB