KEMAMAN- Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menghadiri Majlis Penyerahan Wang Ehsan Kepada Mangsa Banjir Warga MinDef & Veteran ATM bersama dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek bertempat di IKBN Kemasik Kemaman, Terengganu.

Daripada jumlah itu, seramai 1,289 orang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 1,227 veteran ATM manakala selebihnya ialah kakitangan awam yang bertugas di kementerian berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, buat permulaan, bantuan tersebut akan disalurkan kepada 215 mangsa di Pahang dan Terengganu yang terdiri daripada 95 anggota ATM, 80 ve­teran ATM dan selebihnya kepada kakitangan awam berkaitan.

“Mereka yang layak menerima bantuan ini terdiri daripada mereka yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan baru-baru ini dan pembayaran selanjutnya akan dibuat secara berperingkat berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Bagi mereka yang layak menerima bantuan tapi tidak tersenarai dalam kalangan penerima, kita harap mereka dapat mengemukakan permohonan segera kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Jabatan Arah Urusan Gaji Angkatan Tentera dan Bahagian Kewangan di Kementerian Pertahanan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan Kepada Mangsa Banjir Warga Mindef (Kementerian Pertahanan) dan Veteran ATM di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor serta beberapa pemimpin tertinggi ATM yang lain.

Dalam majlis itu, Mohd. Anwar yang mewakili LTAT menyerahkan replika cek sebanyak RM1.25 juta kepada Hishammuddin selaku Menteri Pertahanan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, sehingga semalam, pihak ATM telah melaksanakan sebanyak 323 penerbangan (sortie) menggunakan aset-aset udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menjayakan Ops Murni di seluruh negara yang bermula 25 Disember lalu.

Katanya, menerusi penerbangan itu juga, sebanyak 808 tan bekalan berkaitan banjir telah disalurkan ke negeri-negeri yang terlibat dengan bencana berkenaan.

“Khusus untuk pusat pengumpulan bekalan banjir di Pengkalan Udara TUDM Subang pula, sehingga semalam, sebanyak 3,491 tan bekalan telah diterima dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,415 tan bekalan diagihkan ke kawasan banjir yang melibatkan 2,704 tan pengagihan melalui darat selebihnya melalui udara iaitu 71 'sortie'.

“Sementara itu, baki bekalan yang masih belum diagihkan di pusat tersebut setakat semalam ialah 76 tan,” katanya yang memberitahu, setakat semalam juga, Depoh Simpanan Pertahanan (DSP) di Sungai Buloh telah membuat penghantaran sebanyak 209 tan bekalan ke kawasan banjir di seluruh negara.

 

Sumber : MINDEF & Utusan Malaysia