NILAI - Nasib 13 beradik selepas kematian bapanya pada 2012 mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

JHEV ATM menghulurkan zakat kepada keluarga berkenaan berikutan bapa mereka merupakan ahli veteran ATM.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pengarah JHEV ATM, Datuk Mohd Noor Daud kepada Mastura Mahmud, 28, iaitu anak sulung kepada Allahyarham L/kpl Mahmud Buyong di kediaman keluarga berkenaan di Kampung Kondok, Labu, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, wang zakat ini diberikan menerusi Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia kepada asnaf yang lapan.

“Melihat kepada kesusahan anak veteran ATM ini yang perlu menyara kehidupan mereka secara sendiri setelah kematian bapa mereka, manakala ibu mereka tidak lagi tinggal bersama sejak berkahwin lain, jadi mereka layak untuk menerima pemberian wang zakat ini.

“Ini kes istimewa yang kita perolehi dan sempena bulan Ramadan dan hari raya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan wang berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha Persatuan Veteran Angkatan Tentera Negeri Sembilan, Mejar (B) Mohd Sahi Kassim.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Noor berkata, seramai 3,700 penerima bakal menerima sumbangan perayaan JHEV ATM pada tahun ini.

“Jumlah itu meningkat sebanyak 400 penerima berbanding tahun lalu. Kita akan sempurnakan pemberian sumbangan ini sebelum perayaan tiba,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian