SERIAN, 3 November - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Serian terus dibantu untuk mengadakan aktiviti pada masa akan datang apabila menerima sebanyak RM20,000 daripada Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan yang juga ADUN Tebedu Dato Sri Michael Manyin.

Bantuan dana tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri John David Nyauh ketika mewakili Manyin yang tidak dapat hadir bagi merasmikan Majlis Makan Malam Persatuan Veteran ATM Cawangan Serian di dewan SJK Chung Hua di sini, kelmarin.

Justeru, pengumuman jumlah bantuan tersebut amat menggembirakan ahli-ahli persatuan di mana pada ucapan aluan sempena majlis, Presiden Persatuan Veteran ATM Serian Sadoi Jangga telah menyuarakan permohonan untuk bantuan kewangan tersebut.

Sementara, majlis turut menyaksikan penyampaian pingat kepada 20 ahli veteran ATM yang berdaftar dengan cawangan Serian.

Penyampaian pingat kepada para penerima disempurnakan oleh Pengarah Kebajikan Veteran ATM Cawangan Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid.

 

Sumber : The Borneo Post