TUMPAT, 24 Oktober 2014 - Pesara dan bekas tentera yang belum berdaftar dengan Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa berbuat demikian bagi memperoleh faedah yang disediakan pihak berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata, pesara dan bekas tentera ATM yang berdaftar akan menerima pelbagai faedah termasuk tabung khairat kematian, elaun serta rawatan sakit.

"Saya minta mana-mana pesara dan bekas tentera yang menyendiri agar mendaftar dan ubahlah sikap daripada menyendiri kepada berpersatuan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Veteran ATM Tumpat hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Noor menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 15 bekas anggota tentera dan bantuan wang tunai kepada 12 balu bekas tentera serta orang kelainan upaya dalam kawasan Pengkalan Kubor.

Beliau berkata, setakat ini, lebih 15,000 pesara dan bekas tentera menerima PJM sejak ia diperkenal pada 2004 oleh ATM.

"Kita masih lagi mengesan bekas dan pesara ATM yang berkhidmat dari Januari 1959 sehingga Oktober 1990 untuk diiktiraf," katanya  

Seorang penerima PJM, Mohd Rosli Ibrahim, 51, berkata beliau terharu dengan pengiktifan itu dan menganggap ia satu penghormatan kepada dirinya.

"Pengiktirafan ini menyemarakkan lagi semangat ketenteraan yang ada dalam diri ini," katanya yang berkhidmat dalam ATM selama 22 tahun.

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Khamis ini yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

 

Sumber: Bernama