MELAKA - Semua pesara tentera yang terlibat dengan banjir diminta segera mengemukakan permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi mendapatkan bantuan wang ehsan RM500 yang diperuntukkan kerajaan.

 

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata, pesara terbabit perlu mengemukakan permohonan segera bagi membolehkan jabatan itu membantu mereka dengan secepat mungkin.

"Setakat ini kira-kira 20,000 veteran tentera dikenal pasti terjejas banjir namun jumlah sebenar masih belum diketahui, jadi semua veteran diminta agar segera memohon kepada kami," katanya kepada Bernama di sini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah tugas Pengarah JHEV Negeri Sembilan dan Melaka yang baharu Mejar Zulfazlee Zamri, 37, menggantikan Mejar Mohd Wazli Laili, 39.

Mohd Wazli akan melanjutkan pengajian di Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur, manakala Zulfazlee sebelum ini bertugas di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.

Sumber : Bernama