KANGAR, 8 Dis (Bernama) - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) akan berusaha meningkatkan kutipan Tabung Pahlawan bagi membolehkan lebih banyak bekas anggota tentera menerima bantuan kebajikan dan pembelaan.

Presidennya, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak RM3.6 juta dikumpul melalui Tabung Pahlawan yang kemudiannya diagihkan bagi keperluan bekas tentera yang daif dan memerlukan bantuan.

Berucap pada majlis Hari Pahlawan 2014 peringkat negeri Perlis di sini pada Isnin, beliau berkata antara yang menikmati kemudahan daripada dana Tabung Pahlawan itu ialah lebih 1,600 bekas anggota tentera yang kini menjadi orang kelainan upaya (OKU).

"Kami mengeluarkan sumbangan (sekali bayar) sebanyak RM500 kepada mereka yang dikenal pasti sebagai bekas anggota tentera yang berstatus OKU," kata Mohd Anwar.

Beliau berharap usaha membantu golongan OKU dapat diteruskan tahun depan jika rakyat Malaysia yang prihatin dapat membantu menghulurkan sumbangan kepada tabung itu sepanjang tahun ini.

Mengenai kutipan tahun ini, beliau berkata, setakat ini RM2.1 juta telah dikumpul di samping kutipan lebih RM800,000 yang dikumpul oleh cawangan-cawangan persatuan itu di seluruh negara.

Majlis memperingati Hari Pahlawan itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Perlis, Rela Ahmad yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

 

Sumber : BERNAMA