KUALA LUMPUR, 12 November 2014 - Penyemakan nama-nama veteran tentera yang sudah meninggal dunia akan dibuat lebih kerap melalui beberapa agensi pada masa akan datang bagi mengelak berlakunya pembayaran pencen berlebihan.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad berkata, selain itu, kementerian itu juga sedang menimbang penggunaan kad pengenalan tentera dalam urusan pembayaran pencen.

"Penyemakan yang saya sebut itu dilakukan antara Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam, yang masing-masing akan menyemak data sedia ada dan memaklumkan sebarang perubahan maklumat sesama mereka.

"Untuk langkah lain, kami juga menimbang untuk mengenakan tindakan tatatertib ke atas pegawai yang cuai melakukan pembayaran berlebihan," katanya pada Sesi Bersama Media - Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 2013', di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 2013 itu mendedahkan pengurusan bayaran pencen oleh JHEV tidak memuaskan kerana antara tahun 2011 hingga 2013, sejumlah RM11.94 juta pencen bulanan telah lebih dibayar kepada 3,786 pesara atau penerima pencen yang telah meninggal dunia.

Menurut laporan itu, bagaimanapun daripada jumlah itu, RM1.69 juta (14.2 peratus) berjaya dikutip semula.

 

Sumber:Bernama