KUCHING, 3 November - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Sarawak telah melancarkan Tabung Pahlawan peringkat negeri dengan menyasarkan mengumpul RM200,000 dalam tempoh tiga bulan.

Justeru, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil semasa menyempurnakan pelancarannya semalam berkata beliau yakin bahawa persatuan akan dapat mencapai sasaran tersebut dengan mendapat sokongan daripada masyarakat negeri ini.

“Saya yakin terdapat ramai dermawan di kalangan masyarakat kita akan menyumbang kepada tabung ini,” katanya pada majlis pelancaran yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Dr Jerip yang juga penaung bagi pusat khidmat persatuan tersebut menambah, pengorbanan serta sumbangan para pahlawan negara amat tinggi dan wajar diberi penghargaan.

“Tanpa jasa pahlawan-pahlawan ini, kita di Malaysia tidak akan dapat mencapai apa yang dinikmati sekarang,” katanya. Sementara, majlis turut menyaksikan upacara penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 21 penerima dengan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Kapten Sharuddin Omar dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Sarawak Thomas Ling.

 

Sumber : The Borneo Post