SEREMBAN 27 Ogos 2014- Lebih 135,000 ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM) di seluruh negara berharap kerajaan akan memberi perhatian dan pembelaan terhadap nasib serta masa depan mereka.

Presidennya, Mohd. Sabri Abd. Malek berkata, sehingga kini, ahli persatuan itu masih menunggu khabar gembira daripada kerajaan terutama penyaluran dana khusus untuk bekas tentera tidak berpencen yang pernah diumumkan dalam pembentangan bajet tahun lalu.

Beliau berkata, selain itu, beberapa cadangan projek perniagaan juga telah dikemukakan kepada kerajaan melalui persatuan dan koperasi yang ditubuhkan, Koperasi Veteran Tentera Tidak Berpencen 1Malaysia.

"Oleh kerana itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 tidak lama lagi, kami amat berharap mendapat berita gembira daripada kerajaan.

"Bantulah, pandanglah dan ingatlah jasa dan pengorbanan anggota tentera yang telah berjuang melawan musuh negara terutamanya komunis," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, terdapat seramai 239,885 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negara pada masa ini dengan lebih 135,000 orang adalah ahli persatuan itu.

Jelasnya, permohonan bantuan dana daripada kerajaan dibuat melalui persatuan manakala cadangan projek perniagaan dilakukan menerusi koperasi.

 

Sumber : Utusan Malaysia