Caruman LTAT

Pengeluaran Caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi anggota yang telah bersara dan menamatkan perkhidmatan.


Adakah anda layak?

Anggota berikut layak menerima Caruman LTAT:

  • Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang tidak berpencen akan dibayar caruman sendiri bersama dengan caruman kerajaan serta dividen yang diisytihar setiap tahun.
  • Anggota LLP yang berpencen hanya dibayar carumannya sendiri bersama dividen yang diisytihar setiap tahun.
  • Pegawai yang mencarum secara sukarela hanya dibayar carumannya sendiri bersama dividen yang diisytihar setiap tahun apabila berhenti mencarum.
  • Penama yang layak menerima caruman sekirangnya pencarum meninggal dunia.

Anda tidak layak menerima Caruman LTAT jika anda:

  • Pegawai yang tidak mencarum di dalam Caruman LTAT

Tentang Caruman LTAT

Caruman LTAT merupakan caruman wajib bagi anggota LLP sahaja di mana potongan 10% daripada gaji hakikinya dibayar kepada LTAT. Kerajaan pula akan mencarum sebanyak 15% daripada gaji hakiki ke dalam akaun anggota. Setiap tahun LTAT akan membayar dividen kepada caruman tersebut.

Pegawai boleh memilih untuk mencarum secara sukarela tetapi kerajaan tidak akan mencarum dalam caruman tersebut. Minimum caruman bagi pegawai adalah sebanyak RM25.00 dan maksimum RM750.00 sebulan. Caruman ini dibayar bersama dividen yang diisytihar setiap tahun apabila berhenti mencarum.

Bilakah Caruman LTAT boleh keluarkan

Berdasarkan kepada Seksyen 12 Akta 101 LTAT, caruman bagi pencarum wajib termasuk caruman anggota yang ditauliahkan boleh dikeluarkan apabila:

  • Pencarum meninggal dunia; atau
  • 1 bulan setelah pencarum diberhentikan dari perkhidmatan; atau
  • Pencarum mencapai usia 50 tahun.

Bagi pencarum sukarela, pengeluaran simpanan boleh dibuat pada bila-bila masa dan kelonggaran untuk menjadi ahli bagi kali kedua diberikan walaupun telah membuat pengeluaran kali pertama.

Walau bagaimanapun di bawah Seksyen 15B, pencarum juga boleh mengeluarkan sebahagian dari wang caruman mereka di bawah Skim Pengeluaran Caruman Bagi Pembelian Harta Tak Alih.

Bilakah Caruman LTAT dibayar

Apabila seorang pencarum layak mengeluarkan caruman atau simpanannya, bayaran balik dibuat dengan pembayaran sekaligus setelah semua dokumen-dokumen pengeluaran caruman lengkap diterima oleh LTAT dari Jabatanarah Urusan Gaji ATM (UGAT). Pembayaran dibuat dalam masa 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dari Jabatanarah Urusan Gaji ATM (UGAT).

Cara pembayaran

Caruman akan dikreditkan terus ke akaun bank pesara atau akaun orang tanggungan bagi anggota yang meninggal semasa berkhidmat.


Bagaimana untuk memohon?

Lihat Tanggungjawab Dokumentasi Persaraan Anggota.

Proses bagi orang tanggungan (Anggota meninggal dunia dalam perkhidmatan)

Penama atau waris pencarum boleh memohon untuk mengeluarkan caruman dengan mengemukakan dokumen berikut:

  • Borang LTAT/PWCA/14-2/2 (Borang Pengakuan Waris) yang boleh diperolehi melalui kaunter LTAT atau memuat turun dari laman sesawang LTAT di www.ltat.org.my.
  • Menyertakan salinan kad pengenalan pewaris/penama dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

Dapatkan bantuan!

Perhatian! Urusan pengeluaran caruman adalah di bawah pentadbiran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Anda boleh berhubung terus dengan LTAT di alamat yang berikut:

Alamat:
Lembaga Tabung Angkatan Tentera
Bangunan LTAT,
Jalan Bukit Bintang, Peti Surat 11542,
50748 Kuala Lumpur
Laman web LTAT
No telefon (hotline):
03-2071 5731
Waktu Operasi : Isnin hingga Khamis
No telefon (pejabat):
03-2148 9777

Soalan Lazim

Lihat Soalan Lazim LTAT.


Maklumat tambahan

Dokumen berkaitan

Buku Faedah Persaraan Anggota ATM (Angkatan Tetap)