• Laman Utama
  • Tentang Jabatan
  • Info
  • Berita
  • 𝗞𝗨𝗥𝗦𝗨𝗦 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 𝗠𝗔𝗥𝗞𝗘𝗧𝗜𝗡𝗚 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗩𝗘𝗧𝗘𝗥𝗔𝗡 𝗔𝗧𝗠

Berita

𝗞𝗨𝗥𝗦𝗨𝗦 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 𝗠𝗔𝗥𝗞𝗘𝗧𝗜𝗡𝗚 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗩𝗘𝗧𝗘𝗥𝗔𝗡 𝗔𝗧𝗠

𝗞𝗔𝗝𝗔𝗡𝗚, 𝟯 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Bahagian Kerjaya Sosioekonomi (BKS) Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM telah melaksanakan lawatan pemantauan Kursus Digital Marketing Untuk Veteran ATM. Kursus yang dianjurkan oleh Syarikat Devnet Global Resources (Coach Devi) ini dibiayai sepenuhnya oleh All Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM), sebuah pertubuhan yang bernaung di bawah Parlimen Malaysia menggunakan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
Kursus ini telah bermula sejak 8 September 2024 dan sudah dilaksanakan setiap hari Ahad sebanyak 9 modul. Ianya dijangka berakhir pada 24 November 2024. Sebanyak 7 orang Veteran ATM yang terdiri daripada 5 lelaki dan 2 wanita telah menyertai kursus ini. Peserta paling jauh yang komited hadir untuk semasa setiap sesi kursus ialah Encik Amin dari Kota Bharu, Kelantan.
Sepanjang kursus ini berlangsung semua Veteran ATM yang terlibat telah diberikan ilmu dan pemantauan berterusan berkenaan copywriting menggunakan ChatGPT, design menggunakan Canva, modul Tik Tok bagi pemasaran produk, modul editing video, pembinaan website perniagaan, penghasilan content video berkesan, pemantauan jualan produk secara mingguan serta pengurusan kewangan.
Para peserta juga turut dibekalkan dengan peralatan bagi menyediakan content media sosial serta akses kepada tools editing seperti capcut. Dalam pada itu, setiap peserta juga diwajibkan untuk mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan mereka serius dalam perniagaan mereka.
Berdasarkan temubual yang dilaksanakan bersama Veteran ATM, rata-ratanya mereka sangat gembira dengan pelaksanaan kursus ini dan meminta BKS JHEV ATM untuk melaksanakan lebih banyak kursus sebegini. Ini kerana teknik hands on yang dipraktikkan oleh Coach Devi iaitu salah seorang fasilitator kursus ini serta pemantauan berterusan setiap minggu berjaya memberi impak kepada pengetahuan mereka termasuk meningkatkan jualan mereka setiap minggu.
Mereka juga sudah mahir mempromosikan perniagaan mereka melalui platform media sosial aplikasi Tik Tok dan WhatsApp Business serta mampu menggunakan software dengan berkesan.
JHEV ATM berharap agar penglibatan Veteran ATM dalam kursus ini dapat membuka peluang kerjaya kedua dalam bidang keusahawanan kepada mereka. JHEV ATM juga komited untuk terus menjalinkan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan dan syarikat swasta seperti Syarikat Devnet Global Resources dan APPMG dalam mengenalpasti peluang latihan keusahawanan berkualiti untuk Veteran ATM.
Penganjuran kursus ini juga telah membuka mata pihak pejabat YB Timbalan MENHAN yang berhasrat untuk berjumpa dengan pihak syarikat bagi pelaksanaan kursus seperti ini pada masa akan datang.
Turut hadir dalam lawatan pemantauan Kursus Digital Marketing Untuk Veteran ATM ini ialah Puan Irma Jasmin Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM.