• Laman Utama
  • Tentang Jabatan
  • Info
  • Berita
  • BANTUAN PERSEKOLAHAN “ BACK TO SCHOOL” TAHUN 2020 TABUNG ZAKAT – YAYASAN VETERAN ATM

Berita

BANTUAN PERSEKOLAHAN “ BACK TO SCHOOL” TAHUN 2020 TABUNG ZAKAT – YAYASAN VETERAN ATM

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI 2021 – Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan “Back To School” Tabung Zakat - Yayasan Veteran ATM bagi tahun 2020 yang dirancang untuk diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan pada 14 Januari 2021 telah dibatalkan ekoran pengumuman pelaksanaan PKP oleh YAB Perdana Menteri di 8 buah negeri termasuk Kuala Lumpur mulai 13 sehingga 26 Januari 2020.

Di atas keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap veteran-veteran ATM yang terkesan ekoran wabak COVID-19 maka YB Menteri Pertahananan bersetuju untuk membuat pembayaran bantuan ini secara online banking terus ke akaun penerima-penerima yang layak.

Justeru Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM meneruskan inisiatif ini dengan membuat pembayaran mulai 14 Januari 2021 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 383,500.00 dengan setiap penerima menerima sebanyak RM 500.00. Peruntukan untuk penerima asnaf Veteran ATM menggunakan Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM manakala yang bukan Islam pula menggunakan dana Kempen Tabung Pahlawan.

Sumbangan bantuan persekolahan bagi sesi persekolahan tahun 2021 ini akan memanfaatkan seramai 767 orang penerima dengan pecahan 745 penerima adalah asnaf Veteran ATM sementara bakinya seramai 22 penerima daripada kalangan veteran bukan Islam.

Program yang dilaksanakan pada setiap tahun ini merupakan inisiatif JHEV ATM melalui YVATM dan Kempen Tabung Pahlawan bagi meringankan beban sara hidup asnaf Veteran ATM yang kurang berkemampuan selain menggalakkan minat serta semangat anak-anak untuk ke sekolah. Program ini juga adalah inisiatif bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga dalam membuat persiapan awal persekolahan.

 

JHEV ATM menzahirkan penghargaan kepada penyumbang utama untuk program “Back To School” pada tahun ini iaitu Koperasi Tentera, Affin Hwang Investment Bank, Syarikat Desatera dan juga penyumbang dana Kempen Tabung Pahlawan yang terus komited untuk menyantuni asnaf-asnaf Veteran ATM demi kelangsungan hidup mereka untuk menghadapi musim persekolahan tahun 2021.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi bahagian kebajikan di talian 016 740 0182

 

_________________________________________________________

JABATAN HAL EHWAL VETERAN ATM

KUALA LUMPUR

13 JANUARI 2021