• Home
  • About Department
  • Info
  • News
  • 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗞𝗔𝗦𝗔 𝗩𝗘𝗧𝗘𝗥𝗔𝗡, 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗘𝗥𝗔𝗧 𝗨𝗞𝗛𝗪𝗔𝗛

News

𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗞𝗔𝗦𝗔 𝗩𝗘𝗧𝗘𝗥𝗔𝗡, 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗘𝗥𝗔𝗧 𝗨𝗞𝗛𝗪𝗔𝗛

𝗠𝗘𝗟𝗔𝗞𝗔, 𝟭 𝗢𝗞𝗧𝗢𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki menemui warga Veteran ATM dan persatuan-persatuan veteran di Melaka dalam Majlis Sesi Dialog hari ini. Program ini merupakan platform yang signifikan dalam memperkukuhkan hubungan antara pihak JHEV ATM dan persatuan-persatuan yang mewakili para veteran, selain mendengar sendiri isu serta cabaran yang dihadapi oleh golongan yang pernah berkhidmat untuk negara ini.
Dalam sesi dialog tersebut, beberapa isu penting telah diketengahkan oleh wakil persatuan, termasuklah akses kepada rawatan kesihatan di hospital kerajaan, peluang pekerjaan untuk veteran, dan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Ketua Pengarah JHEV ATM memberi maklum balas yang proaktif terhadap setiap persoalan yang dibangkitkan, dan menyatakan bahawa jabatan akan terus memperbaiki perkhidmatan serta bantuan yang diberikan kepada veteran.
Sesi dialog ini bukan sahaja membuka ruang untuk berbincang secara terbuka, tetapi juga merupakan usaha berterusan untuk memastikan bahawa khidmat bakti para veteran ATM tidak dilupakan, dan hak-hak mereka dipertahankan di pelbagai peringkat.
Selain daripada itu, beliau turut membuat lawatan kerja ke Pejabat JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan dan Melaka yang merupakan sebahagian daripada agenda siri lawatan kerja rasmi Ketua Pengarah JHEV ATM untuk turun padang sejak mengambil alih tampuk kepimpinan JHEV ATM sebagai Ketua Pengarah yang ke 9 hampir sebulan yang lalu.
Antara motif dan tujuan utama lawatan kerja tersebut adalah untuk melihat sendiri operasi JHEV ATM di peringkat cawangan, selain memahami dengan lebih mendalam isu-isu yang dihadapi oleh pegawai serta kakitangan dalam memberi perkhidmatan kepada para veteran ATM.
Ia juga memberikan peluang dan ruang kepada pihak organisasi JHEV ATM di peringkat cawangan untuk menyuarakan cabaran dan cadangan mereka bagi menambah baik perkhidmatan yang diberikan.
Program sedemikian akan menjadi contoh baik dan menghasilkan impak yang berkesan bagi pendekatan interaktif dan inklusif yang diambil oleh JHEV ATM dalam memastikan setiap suara veteran didengar dan diberi perhatian yang sewajarnya. Manifestasi nya nanti agar kebajikan serta kepentingan veteran ATM akan terus dipertingkatkan dan JHEV ATM dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam memastikan golongan ini terus mendapat perhatian sebaiknya daripada pihak kerajaan, NGO dan masyarakat.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka & Negeri Sembilan, Mej. Muhammad Zarifi bin Haji Tumin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol. (B) Azwadi bin Jamian, Pegawai Staf 2 Atur Turus JHEV ATM, Mej. Mohammad Syaffik bin Yahaya dan wakil persatuan-persatuan Veteran ATM.