PULAU PINANG, 14 JANUARI 2025 - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki di Kediaman Rasmi Seri Mutiara, George Town, Pulau Pinang dekat sini, pada Selasa.
Kunjungan ini merupakan satu usaha berterusan JHEV ATM untuk memastikan kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat perhatian dan keutamaan, khususnya di Negeri Pulau Pinang. Melalui pertemuan ini juga, Ketua Pengarah JHEV ATM berpeluang berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan serta merancang program-program tambahan bagi memperkukuhkan sokongan kepada golongan Veteran ATM dan keluarga mereka.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah:
- Bantuan Sara Hidup (BSH) – Menyokong keperluan asas Veteran ATM dan keluarga mereka, terutama yang berpendapatan rendah.
- Inisiatif Perumahan – Memberikan bantuan untuk baik pulih atau pembinaan rumah baharu bagi Veteran ATM yang memerlukan.
- Bantuan Persekolahan dan IPT – Membantu keluarga Veteran ATM dengan perbelanjaan pendidikan anak-anak demi masa depan yang lebih cerah.
- Bantuan Bencana Alam – Menyediakan sokongan segera kepada Veteran ATM yang terkesan akibat bencana seperti banjir dan ribut.
- Bantuan Peralatan Pesakit – Membekalkan peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil khas, dan lain-lain kepada Veteran ATM yang memerlukan.
- Bantuan Mengurus Jenazah – Memberikan bantuan kewangan untuk urusan pengebumian Veteran ATM sebagai penghormatan terakhir kepada mereka.
- Peluang Kerjaya Kedua – Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada Veteran ATM yang berpencen dan tidak berpencen, bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas tamat perkhidmatan.
TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi turut merakamkan penghargaan atas segala usaha JHEV ATM dalam menjaga kebajikan para veteran, yang disifatkan sebagai golongan yang banyak berjasa kepada negara. Beliau berharap agar kerjasama erat antara kerajaan negeri dan JHEV ATM dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa akan datang.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Mejar Mohammad Syaffik bin Yahaya, Pegawai Staf 2 Atur Turus JHEV ATM dan Mejar Mohd. Izmer bin Ghazali (TUDM), Pengarah JHEV ATM Cawangan Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.