Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Jadual Pembayaran Pencen

Tarikh Seterusnya

19

Februari
Rabu

PENGUMUMAN

114,991

Penerima
Pencen

31,290

Penerima Pencen
Terbitan

72,924

Veteran Tidak
Berpencen

219,205

Jumlah Keseluruhan Veteran
Berdaftar dengan JHEV

Statistik setakat Januari 2025.


Berita Terkini

MAJLIS PENYERAHAN GANJARAN FAEDAH HILANG UPAYA (GHU) BAGI DAERAH MUAR, JOHOR

MAJLIS PENYERAHAN GANJARAN FAEDAH HILANG UPAYA (GHU) BAGI DAERAH MUAR, JOHOR

MUAR, 8 FEBRUARI 2025  – Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Faedah Ganjaran Hilang Upaya veteran ATM di Muar, Johor dekat sini hari ini. Penambahbaikan Faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) telah disemak secara sepenuhnya dengan memberi kenaikan yang signifikan dan berkuatkuasa bermula Januari 2025 seiring dengan pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Faedah GHU ini adalah satu bentuk manfaat kepada semua anggota ATM yang mengalami kecederaan semasa tugas aktif (Wounded in Action) yang diberi secara sekali gus (one off). YB Menteri Pertahanan telah menyampaikan faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada seramai tujuh (7) veteran ATM daerah Muar, Johor. Dalam majlis yang sama, YB Menteri Pertahanan turut menyampaikan bungkusan Kotak Cakna kepada seramai sembilan (9) veteran ATM yang diantaranya mengalami masalah pendengaran, masalah pertuturan, kemalangan dalam perkhidmatan, menjaga anak Orang Kurang Upaya (OKU), uzur, mengalami sakit jantung dan Veteran Kurang Upaya (VKU). Seramai 1,825 veteran ATM hilang upaya seluruh Malaysia termasuk yang cedera semasa melaksanakan tugas aktif dan 292 orang daripada jumlah tersebut mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi. Penyerahan faedah GHU selepas penambahbaikan telah mula dilaksanakan sejak awal Januari 2025 dan seramai 50 orang yang telah pun menerima GHU. Untuk rekod, veteran di Daerah Muar, Johor mempunyai seramai 2,020 veteran ATM di mana 916 adalah veteran ATM berpencen, 733 adalah veteran ATM yang tidak berpencen dan 371 penerima pencen terbitan. Pengukuhan dan pemerkasaan aspek kesejahteraan veteren sentiasa diperluas dan diperkemas agar kebajikan veteran ATM sentiasa terpelihara sebagaimana yang telah digariskan di dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan dalam Fokus Keempat: Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki dan Lt Kol Azwadi bin Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM.
VETERAN ATM DAN KELUARGA DIRAI DALAM MAJLIS  HI-TEA BERSAMA TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN

VETERAN ATM DAN KELUARGA DIRAI DALAM MAJLIS HI-TEA BERSAMA TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN

ALOR GAJAH, 1 FEBRUARI 2025 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah meluangkan masa bersama-sama dengan veteran ATM Negeri Melaka dalam satu Majlis Hi-Tea anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) di Dewan Penyayang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah dekat sini hari ini. Warga veteran ATM yang diraikan adalah terdiri dari kalangan mereka yang cedera ketika bertugas sama ada semasa melaksanakan operasi atau latihan berisiko tinggi. Selain menyantuni mereka, YB Timbalan Menteri Pertahanan turut menyampaikan faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada seramai 38 veteran ATM dari Zon Tengah iaitu Melaka dan Negeri Sembilan, kata kenyataan itu. Dalam majlis yang sama, YB Timbalan Menteri Pertahanan telah berbesar hati menyampaikan komputer riba kepada seramai lapan ( 8 ) orang penerima dari kalangan asnaf veteran ATM serta Sumbangan Rahmah kepada 22 buah persatuan veteran ATM Melaka. Terdapat seramai 1,825 veteran ATM hilang upaya seluruh Malaysia termasuk yang cedera semasa melaksanakan tugas aktif. Daripada jumlah tersebut seramai 292 veteran ATM mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi. Penyampaian sumbangan GHU telah mula dilaksanakan sejak awal Januari 2025. Daripada 292 veteran ATM yang telah disenaraikan, seramai 43 orang telah pun menerima GHU. Kerajaan amat menghargai dan memandang serius aspek kebajikan semua veteran ATM khususnya yang tercedera. Dalam usaha menjamin kebajikan mereka, kerajaan telah mengumumkan penambahbaikan Kadar Faedah Hilang Upaya (FHU) veteran ATM berkuatkuasa pada Januari 2025 seperti berikut:
i. Peningkatan Pencen Hilang Upaya (PHU) Pencen bulanan bagi semua peratus darjah hilang upaya dan kenaikan 10% untuk penerima sedia ada di susunan 2A di dalam PPAT 1982.
ii. Ganjaran Hilang Upaya (GHU) Ganjaran antara RM6,000.00 hingga RM72,000.00 mengikut peratus kecederaan individu secara (one-off) kepada semua anggota yang cedera semasa tugas aktif.
iii. Elaun Pelajaran Kepada anak penerima PHU dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 kepada RM1,600 hingga RM5,400.
iv. Elaun Layanan Sentiasa Dinaikkan daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan. Negeri Melaka mempunyai 12,805 veteran ATM dimana 7,320 adalah veteran ATM berpencen, 3,123 adalah veteran ATM yang tidak berpencen dan 2,362 penerima pencen terbitan. Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM akan terus komited memelihara kebajikan veteran ATM. Tekad ini adalah selari dengan komitmen yang telah digariskan dalam Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Iltizam ini juga disokong dengan peningkatan peruntukan JHEV ATM sebanyak RM226 juta kepada RM239 juta bagi tahun 2025. Peruntukan ini adalah untuk membiayai perbelanjaan kebajikan dan kemudahan veteran ATM khususnya Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Perubatan, Bantuan Institut Pengajian Tinggi dan Persekolahan, Inisiatif Perumahan dan sebagainya. Selain itu, program Work-Based Learning (WBL) diperkenalkan bagi mempersiapkan veteran dengan kemahiran kerjaya kedua, termasuk PRO WIRA yang menjamin pendapatan minimum RM2,000 sebulan selama setahun. JHEV ATM turut memperkukuh hubungan veteran dengan masyarakat, sektor korporat, dan agensi seperti Talent Corp serta PERKESO melalui program My WIRA dan My Future Jobs. Inisiatif seperti Veteran Madani (PVM), Veteran Desa Madani (VDM), dan Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET) juga diteruskan bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela. Turut hadir dalam Majlis Hi-Tea Veteran ATM pada hari ini ialah Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Brig Jen Datuk Khairul Izan bin Muhammad Sufian Komander Artileri Divisyen, Markas Artileri 3 Divisyen merangkap Wakil Panglima 3 Divisyen, Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan & Melaka Mejar Haji Muhammad Zarifi bin Haji Tumin, Datuk Ashraf Mukhlis bin Minghat Pegawai Penyelaras Parlimen Alor Gajah, Kol Khairul Anwar bin Soib Timbalan Panglima 10 Bgd (Para) merangkap Wakil Panglima 10 Bgd (Para), Lt Kol Azwadi bin Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Encik Mohamad Noor bin Sahidi Johari, Ketua Pusat Kecemerlangan dan Penyelidikan Syariah, Etiqa Takaful Berhad dan persatuan-persatuan ATM Negeri Melaka.
MAJLIS HI0TEA JHEV ATM BERSAMA  YB MENTERI PERTAHANAN: SIGNIFIKAN PENGHARGAAN KEPADA VETERAN CEDERA

MAJLIS HI0TEA JHEV ATM BERSAMA YB MENTERI PERTAHANAN: SIGNIFIKAN PENGHARGAAN KEPADA VETERAN CEDERA

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI 2025 – Majlis Hi-Tea yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) bersama YB Menteri Pertahanan signifikan, memberi penghormatan kepada 38 daripada 292 jumlah keseluruhan veteran yang tercedera semasa operasi dan latihan berisiko tinggi. Para Veteran ATM yang hadir dari Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Perak membuktikan bahawa mereka masih mempunyai semangat juang yang tinggi dalam dunia ketenteraan walaupun terhalang dengan kecederaan yang berlaku semasa operasi dan latihan.
Dalam pada itu, majlis ini juga menyaksikan kerjasama strategik antara JHEV ATM dan beberapa pihak seperti Agro Bank, Affin Bank, PERNAS, dan SPNB dalam menyokong program kerjaya kedua untuk Veteran ATM. SPNB khususnya dalam libat urus menyumbang subsidi perumahan sebanyak RM20,000 bagi rumah bina baharu untuk Veteran ATM.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Tuan Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan, ketua-ketua tertinggi angkatan tentera dan veteran ATM serta Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) YBhg. Mej Jen Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki. Majlis ini juga merakamkan penghargaan kepada penyumbang Kempen Tabung Pahlawan (KTP) yang telah memberikan komitmen yang tinggi melalui sumbangan besar serta sangat tinggi nilainya khusus kepada kebajikan Veteran ATM keseluruhannya.
“JHEV ATM mengharapkan majlis ini akan dapat diteruskan pada masa depan, menjadi platform untuk menzahirkan penghargaan kepada veteran cedera dan merapatkan hubungan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi serta penyumbang-penyumbang KTP demi memperkasakan serta memartabatkan aspek kebajikan Veteran ATM,” kata Dato’ Semaon Marjuki semasa berucap di hadapan lebih 400 orang tetamu yang hadir.
TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JHEV ATM

TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JHEV ATM

PULAU PINANG, 14 JANUARI 2025 - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki di Kediaman Rasmi Seri Mutiara, George Town, Pulau Pinang dekat sini, pada Selasa.

Kunjungan ini merupakan satu usaha berterusan JHEV ATM untuk memastikan kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat perhatian dan keutamaan, khususnya di Negeri Pulau Pinang. Melalui pertemuan ini juga, Ketua Pengarah JHEV ATM berpeluang berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan serta merancang program-program tambahan bagi memperkukuhkan sokongan kepada golongan Veteran ATM dan keluarga mereka.

Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah:

  1. Bantuan Sara Hidup (BSH) – Menyokong keperluan asas Veteran ATM dan keluarga mereka, terutama yang berpendapatan rendah.
  2. Inisiatif Perumahan – Memberikan bantuan untuk baik pulih atau pembinaan rumah baharu bagi Veteran ATM yang memerlukan.
  3. Bantuan Persekolahan dan IPT – Membantu keluarga Veteran ATM dengan perbelanjaan pendidikan anak-anak demi masa depan yang lebih cerah.
  4. Bantuan Bencana Alam – Menyediakan sokongan segera kepada Veteran ATM yang terkesan akibat bencana seperti banjir dan ribut.
  5. Bantuan Peralatan Pesakit – Membekalkan peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil khas, dan lain-lain kepada Veteran ATM yang memerlukan.
  6. Bantuan Mengurus Jenazah – Memberikan bantuan kewangan untuk urusan pengebumian Veteran ATM sebagai penghormatan terakhir kepada mereka.
  7. Peluang Kerjaya Kedua – Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada Veteran ATM yang berpencen dan tidak berpencen, bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi turut merakamkan penghargaan atas segala usaha JHEV ATM dalam menjaga kebajikan para veteran, yang disifatkan sebagai golongan yang banyak berjasa kepada negara. Beliau berharap agar kerjasama erat antara kerajaan negeri dan JHEV ATM dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa akan datang.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Mejar Mohammad Syaffik bin Yahaya, Pegawai Staf 2 Atur Turus JHEV ATM dan Mejar Mohd. Izmer bin Ghazali (TUDM), Pengarah JHEV ATM Cawangan Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.

PERBINCANGAN PELAKSANAAN PROGRAM KEMAHIRAN VETERAN ATM DAN ANGGOTA TENTERA YANG BAKAL MENJALANI LATIHAN PERALIHAN MENGGUNAKAN LEVI PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

PERBINCANGAN PELAKSANAAN PROGRAM KEMAHIRAN VETERAN ATM DAN ANGGOTA TENTERA YANG BAKAL MENJALANI LATIHAN PERALIHAN MENGGUNAKAN LEVI PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2024 - Satu Perbincangan Program Kemahiran Veteran ATM dan Anggota Tentera yang bakal menjalani Latihan Peralihan telah diadakan pada hari ini.
Delegasi MINDEF diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, dan telah disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah HRD Corp, Encik Soffian Mohammed Amin, Ketua Pegawai Program sebaik tiba di Wisma HRD CORP. Perbincangan ini turut disertai oleh wakil PERHEBAT, wakil Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (LTAT), wakil Cawangan Sumber Manusia, Markas ATM (Darat, Laut & Udara) dan Cawangan Latihan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
Pihak MINDEF dan HRD Corp telah membincangkan berkenaan bidang dan senarai kursus yang sesuai dilaksanakan di bawah program ini bagi melatih Veteran ATM, Anggota Tentera dan Warga Awam Pertahanan yang bakal menjalani latihan peralihan.
Di samping itu, sesi perbincangan juga telah diadakan bagi mengenalpasti kaedah pelaksanaan serta pemantauan bagi pelaksanaan *_pilot project_* seperti sasaran kumpulan, lokasi kursus, tempoh masa pelaksanaan / penyedia latihan serta dana kursus yang akan digunakan.
Memorandum Persefahaman (MOU) dijangka akan dimeterai pada awal tahun 2025 di antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk persetujuan antara dua pihak atau lebih untuk bekerjasama dalam program ini untuk mencapai matlamat bersama.
Hadir sama semasa perbincangan tersebut ialah Puan Irma Jasmin Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM.
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐑𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐑𝐔𝐌𝐀𝐇 𝐁𝐈𝐍𝐀 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐑𝐔 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐈𝐍𝐈𝐒𝐈𝐀𝐓𝐈𝐅 𝐏𝐄𝐑𝐔𝐌𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐕𝐄𝐓𝐄𝐑𝐀𝐍 𝐀𝐓𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐑𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐑𝐔𝐌𝐀𝐇 𝐁𝐈𝐍𝐀 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐑𝐔 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐈𝐍𝐈𝐒𝐈𝐀𝐓𝐈𝐅 𝐏𝐄𝐑𝐔𝐌𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐕𝐄𝐓𝐄𝐑𝐀𝐍 𝐀𝐓𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇

𝗕𝗘𝗔𝗨𝗙𝗢𝗥𝗧, 𝟮𝟬 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Satu Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM Negeri Sabah telah diadakan di Kampung Bingkul. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg Mejar Jeneral Dato' Hj. Semaon Bin Hj. Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM kepada Encik Ajak bin Buniam.
YBhg Dato' Hj. Semaon dalam ucapan beliau menekankan tentang Inisiatif Perumahan Veteran ATM yang menumpukan kepada kebajikan sosioekonomi Veteran ATM. Inisiatif ini dijayakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Pada tahun ini sebanyak 53 permohonan rumah bina baharu dan 209 permohonan baik pulih rumah telah diluluskan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM6.18 juta. Ini termasuk 5 program bina baharu dan 23 program baik pulih di Negeri Sabah.
JHEV ATM komited untuk meneruskan Inisiatif Perumahan Veteran ATM ini demi kelangsungan hidup berkualiti Veteran pada masa akan datang. Sejak tahun 2021 hingga kini, peruntukan bagi program ini telah ditingkatkan sebanyak 27.16% iaitu dari RM4.86 juta kepada RM6.18 juta. JHEV ATM berharap inisiatif ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penerima manfaat yang berkelayakan di kalangan Veteran ATM.
YBhg. Dato' Ketua Pengarah JHEV ATM juga telah menyerahkan 500 bantuan bakul rahmah kepada Veteran ATM sekitar Beaufort, Sabah.
Turut hadir semasa program tersebut ialah Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Puan Irma Jasmin Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM, Puan Normalah binti Ag Anak, Pengerusi Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja (PVRSD) Sabah, Mej Mohammad Syaffik bin Yahaya, PS2 Atur Turus JHEV ATM, Kapten Muhammad Khaidir bin Ramlee TUDM, Pemangku Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sabah dan Ahli-ahli PVATM Cawangan Beaufort.
#JHEVATM
#taatsetia
#VETERANATM
𝐙𝐈𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐊𝐀𝐒𝐈𝐇 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐉𝐇𝐄𝐕 𝐀𝐓𝐌 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐕𝐄𝐓𝐄𝐑𝐀𝐍 𝐀𝐓𝐌 𝐃𝐈 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇

𝐙𝐈𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐊𝐀𝐒𝐈𝐇 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐉𝐇𝐄𝐕 𝐀𝐓𝐌 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐕𝐄𝐓𝐄𝐑𝐀𝐍 𝐀𝐓𝐌 𝐃𝐈 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇

𝗞𝗢𝗧𝗔 𝗕𝗘𝗟𝗨𝗗, 𝟭𝟵 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia, YBhg. Mej. Jen. Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, telah mengadakan lawatan ke sekitar daerah Kota Belud, Sabah, hari ini. Lawatan tersebut bertujuan memastikan kebajikan veteran yang memerlukan bantuan terus diberikan perhatian sewajarnya selain dalam usaha berterusan mendekati veteran ATM di seluruh negara.
Seramai 7 orang Veteran ATM telah diziarahi dalam kunjungan pada kali ini. Kebanyakan mereka mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti sakit kronik, strok dan ada juga yang menguruskan anak Orang Kurang Upaya (OKU). Sebagai tanda sokongan dan bantuan, Ketua Pengarah JHEV ATM telah menyerahkan sumbangan yang merangkumi bakul makanan asas serta bantuan lain yang disesuaikan dengan keperluan individu hasil daripada permohonan mereka kepada JHEV ATM.
Seorang veteran ATM yang ditemui semasa kunjungan tersebut, Encik Kamal@Gilbert bin Abdullah@Siang, berkongsi luahan rasa bersyukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh JHEV ATM. “Sumbangan ini amat bermakna kepada saya dan keluarga. Kehadiran Ketua Pengarah sendiri memberi semangat kepada kami untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup,” katanya.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Mej Mohammad Syaffik bin Yahaya, PS2 Atur Turus JHEV ATM, Kapten Muhammad Khaidir bin Ramlee TUDM, Pemangku Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sabah dan ahli-ahli PVATM Cawangan Kota Belud.

    Bilangan Pelawat

    3199234
    Hari Ini: 100
    Jumlah Pelawat: 3,199,234

    facebook
    tiktok
    instagram
    youtube
    location
    footer-logo

    Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

    Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

    Tel: 03-2050 8000
    Pusat Panggilan: 03-2697 6600

    Ibu Pejabat  Cawangan


    Hakcipta 2024 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM