KAJANG, 13 APRIL 2026 - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hari ini melancarkan Inisiatif Malaysia Border Guard (Veteran Angkatan Tentera Malaysia) 2026 sebagai langkah strategik memperkukuh kawalan serta keselamatan sempadan negara melalui penggemblengan kepakaran dan pengalaman veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Majlis peluncuran yang berlangsung di Maktab Penjara Kajang itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Haji Malek Razak bin Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Haji Abdul Halim bin Abdul Rahman; serta Ketua Pengarah AKPS, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily bin Mohd Zain. Bagi fasa pertama pelaksanaan, seramai 48 veteran ATM dilantik menganggotai Malaysia Border Guard, dengan penempatan melibatkan 31 anggota di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 di Pelabuhan Klang dan tiga di Ibu Pejabat AKPS. Kesemua calon telah melalui proses saringan ketat merangkumi ujian psikometrik, fizikal serta sesi temu duga bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme yang tinggi dalam melaksanakan tugas keselamatan sempadan. Inisiatif itu dijangka memperkasa keupayaan operasi AKPS secara bersepadu, selaras dengan keperluan menangani cabaran keselamatan rentas sempadan yang semakin kompleks. Dalam pada itu, anggota Malaysia Border Guard diingatkan supaya melaksanakan amanah dengan penuh integriti, ketelitian dan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara. Pelaksanaan inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan veteran ATM terus terbela, di samping memberi peluang kepada mereka untuk terus menyumbang kepakaran kepada negara. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki; Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Tuan Hafidz Othman selaku tuan rumah; barisan Timbalan Ketua Pengarah AKPS serta wakil kementerian dan jabatan berkaitan. Peluncuran tersebut dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh keselamatan negara secara menyeluruh melalui pendekatan kolaboratif antara agensi serta penglibatan berterusan veteran ATM.
Bahasa
English 