Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Arkib Berita
KOTA TINGGI, 28 MAC 2026 -  Di sebalik wajah tenang para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tersimpan kisah pengorbanan yang tidak ternilai demi mempertahankan kedaulatan negara. Menyedari hakikat itu, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) terus komited memastikan kebajikan golongan ini sentiasa terpelihara.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi Program Ziarah Kasih Kempen Tabung Pahlawan (KTP) yang diketuai Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, dengan menziarahi lima veteran ATM di sekitar Kota Tinggi, Johor hari ini. Program berteraskan kebajikan itu bukan sekadar lawatan, sebaliknya menjadi platform untuk menyelami kehidupan sebenar veteran yang kini berdepan pelbagai cabaran, termasuk masalah kesihatan, kekangan kewangan serta kebergantungan kepada sokongan keluarga. Ziarah dimulakan dengan kunjungan ke kediaman Bintara Muda Ahmad bin Muhani, 83 tahun, seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pernah berkhidmat selama 22 tahun dalam Kor Kejuruteraan (Laut). Kini uzur dan tinggal bersendirian, beliau bergantung kepada pencen bulanan serta bantuan kebajikan bagi meneruskan kehidupan harian. Rombongan seterusnya menziarahi Prebet Marsaid bin Marjudin, 67 tahun, yang tidak berpencen dan kini terlantar selepas diserang strok sejak Oktober tahun lalu. Tanpa sumber pendapatan tetap, beliau bergantung sepenuhnya kepada bantuan kebajikan serta sokongan keluarga terdekat. Turut diziarahi ialah Sarjan Azman bin Mat Isa, 60 tahun, yang lumpuh dari pinggang ke bawah akibat penyakit tibi tulang sejak Februari lepas. Walaupun menerima pencen perkhidmatan, sokongan keluarga menjadi kekuatan utama beliau dalam menghadapi ujian kesihatan. Lawatan diteruskan ke kediaman Lans Koperal Herwan bin Rosdan, 48 tahun, yang tidak berpencen dan kini berdepan pelbagai komplikasi kesihatan termasuk penyakit jantung, kencing manis serta angin pasang. Beliau kini terlantar dan bergantung kepada bantuan serta sokongan keluarga. Ziarah terakhir melibatkan Staf Sarjan Ali bin Simin, 82 tahun, seorang veteran berpencen yang kini uzur dan terlantar akibat faktor usia serta penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. Beliau dijaga rapi oleh ahli keluarga yang sentiasa berada di sisi. Sepanjang lawatan, sumbangan turut disampaikan sebagai tanda keprihatinan selain memberi sokongan moral kepada veteran dan keluarga mereka. Program ini juga membuka ruang kepada pihak JHEV ATM untuk menilai sendiri keperluan semasa serta bentuk bantuan yang boleh disalurkan dengan lebih berkesan. Menurut Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Marjuki, pendekatan turun padang seperti ini akan terus diperkasakan bagi memastikan tiada veteran yang terpinggir daripada menerima perhatian sewajarnya. "Pengorbanan mereka tidak ternilai. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela dan dihargai,” katanya.
Program Ziarah Kasih KTP ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan JHEV ATM dalam mendekati komuniti veteran secara langsung, di samping memperkukuh jaringan sokongan sosial kepada golongan berkenaan di seluruh negara. Turut hadir Pengarah JHEV ATM Cawangan Johor, Mejar Johadi bin Jemaat serta wakil Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Johor.

Bilangan Pelawat

3659428
Hari Ini: 747
Jumlah Pelawat: 3,659,428

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2026 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM