
TALENTCORP DAN JHEV ATM METERAI MEMORANDUM PERSEDAHAMAN (Mou) UNTUK TINGKATKAN KEBOLEHPASARAN VETERAN ATM
KUALA LUMPUR, 10 MAC 2025 – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah dimeterai hari ini dalam usaha memperkukuhkan kebolehpasaran Veteran ATM ke dalam sektor pekerjaan. Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari. Kerjasama strategik ini bertujuan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi veteran ATM khususnya selepas tamat perkhidmatan, katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, konsep persaraan Veteran ATM adalah unik, dengan kebanyakan mereka bersara pada usia yang masih muda, iaitu sekitar hujung 30-an atau awal 40-an. Oleh itu, mereka masih mempunyai potensi besar untuk memulakan kerjaya kedua dalam pelbagai bidang yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berdisiplin. “Veteran ATM bukan sahaja wira negara yang telah berkorban demi keselamatan tanah air, malah mereka juga merupakan tenaga kerja profesional terlatih yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujar YB Adly Zahari. Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan program MyWira yang diperkenalkan sejak 2024 oleh TalentCorp. Program tersebut membantu 4,049 anggota dan veteran ATM dengan 1,524 daripadanya meneroka laluan kerjaya menerusi platform pemprofilan MyNext. Sehingga kini, seramai 1,383 Veteran telah berdaftar untuk peluang pekerjaan, dan 49 daripadanya telah berjaya memperoleh penempatan kerja. Selain itu, YB Adly Zahari turut memuji usaha Bengkel Libat Urus KESUMA-MINDEF yang menjadi platform strategik dalam membina sinergi antara kemahiran anggota tentera dengan keperluan industri. Beliau berharap ekosistem kebolehpasaran ini dapat diperluaskan lagi melalui lebih banyak kolaborasi bersama pemain industri. Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus peduli terhadap kebajikan dan masa depan Veteran ATM, selaras dengan prinsip bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama. Majlis ini menandakan satu lagi komitmen kerajaan dalam menyediakan laluan kerjaya yang mampan kepada Veteran ATM dan meningkatkan penglibatan mereka dalam pelbagai industri yang memerlukan tenaga kerja mahir tempatan. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Tuan Sophian Isswandy bin Ismail dan Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM Puan Irma Jasmin Ishak.