TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN SERTAI PROGRAM VETERAN VETERAN DESA MADANI DI KOTA BHARU
KOTA BHARU, 13 JUN 2026 — Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari menyertai Program Veteran Desa Madani (VDM) yang berlangsung di Kota Bharu pada 12 hingga 13 Jun sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mengukuhkan hubungan antara veteran dan komuniti setempat. Program itu menghimpunkan veteran ATM, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan penduduk setempat, serta turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi bin Jamian. Pada hari pertama, Timbalan Menteri Pertahanan menyertai aktiviti gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Kampong Sireh yang melibatkan kerja pembersihan di kawasan Masjid At Taqwa, Masjid Marian Kota Lama serta kawasan perkuburan di Kampung Kubur Kuda dan Kampung Sireh. Aktiviti itu bertujuan mewujudkan persekitaran yang bersih dan kondusif di samping memupuk semangat kerjasama antara penduduk setempat dan veteran ATM.
Pada hari kedua, beliau mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman seorang veteran ATM, Azman Mohd Salleh bagi meninjau keadaan serta menyantuni keluarga berkenaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan bekas anggota tentera. Beliau kemudian menghadiri program kemuncak Veteran Desa Madani di Sekolah Kebangsaan Kampong Sireh yang menampilkan pelbagai aktiviti komuniti termasuk lawatan ke reruai Jualan Rahmah, pertandingan mewarna, sukan tradisional serta penyampaian hadiah kepada pemenang.
Sumbangan turut disampaikan kepada jawatankuasa masjid dan penerima Bakul Rahmah, selain acara cabutan bertuah yang mendapat sambutan penduduk setempat.
Penganjuran Program Veteran Desa Madani selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan veteran ATM, memperkasakan komuniti serta memupuk budaya prihatin dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Program itu turut menjadi platform dalam menghargai jasa dan pengorbanan veteran ATM yang telah berkhidmat demi keamanan dan kedaulatan negara.
Bahasa
English 