Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Arkib Berita
KUALA LUMPUR, 4 FEBRUARI 2026 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin hari ini telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 413 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk balu serta wakil waris, dalam satu majlis penuh penghargaan yang berlangsung di Dewan Perdana FELDA, di sini.
Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan dalam menyanjung jasa dan pengorbanan wira negara yang telah mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air khususnya semasa era insurgensi komunis.
Dalam ucapannya, YB Menteri Pertahanan menegaskan bahawa Pingat Jasa Malaysia bukan sekadar simbol penghargaan, malah merupakan pengiktirafan negara terhadap peranan besar warga Veteran ATM dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
“Penganugerahan pingat ini bertujuan untuk mengenang jasa perwira negara serta menghayati sejarah perjuangan mereka, agar dapat dijadikan iktibar demi memastikan masa depan negara yang selamat dan sejahtera,” ujar beliau.
Seiring dengan pengiktirafan tersebut, YB Menteri turut memaklumkan bahawa selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk menyalurkan Penghargaan Khas Pingat Jasa Malaysia berjumlah RM500 secara sekali beri (one-off) kepada semua pemegang PJM di seluruh negara, termasuk para penerima pada hari ini. Pemberian tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkasa kebajikan dan kesejahteraan warga Veteran ATM agar tiada yang tercicir atau terpinggir, serta memastikan persaraan yang sejahtera dan bermaruah.
Bagi tahun 2026, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM303.3 juta kepada JHEV ATM, iaitu peningkatan 3.16 peratus berbanding RM294 juta pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, hampir 90 peratus atau RM274.4 juta disalurkan khusus untuk agenda kesejahteraan veteran.
Antara inisiatif utama ialah Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250 secara sekali beri kepada semua veteran ATM, yang akan disalurkan oleh JHEV ATM seperti diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2026. Bantuan ini dijangka disalurkan pada awal Mac 2026, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, menjadikan jumlah keseluruhan penerimaan bagi pemegang PJM sebanyak RM750.
Dalam pada itu, YB Menteri Pertahanan turut menegaskan bahawa sebarang isu yang melanda ATM kebelakangan ini tidak mencerminkan hakikat sebenar ATM sebagai sebuah institusi yang unggul dan dihormati. Beliau menekankan bahawa segala salah laku yang berlaku berpunca daripada tindakan segelintir pihak dan sama sekali bukan budaya atau cerminan sebenar ATM.
YB Menteri turut menyeru warga Veteran ATM agar bersama-sama menyokong usaha Kementerian Pertahanan dalam memulihkan integriti dan wibawa ATM serta membetulkan persepsi masyarakat terhadap institusi pertahanan negara.
“Apabila rakyat menyebut tentang ATM, yang seharusnya terbayang adalah keberanian, pengabdian dan pengorbanan warga veteran yang telah memastikan keamanan negara selama ini,” katanya.
Mengakhiri ucapan, YB Menteri Pertahanan menegaskan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dan ATM untuk memastikan keselamatan, kebajikan serta kesejahteraan veteran terus terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, demi membina sebuah negara yang lebih gagah, dihormati dan terjamin keamanannya.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato' Seri Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri, Ketua Staf AM Markaz Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Mejar Jeneral Dato' Norsham bin Md Tap, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ahli Lantikan MVK, Leftenan Jeneral Dato' Sri Abdul Aziz bin Ibrahim (Bersara) dan Mejar Jeneral Dato' Muhammad Mudzamir Ong bin Abdullah TUDM (B).

Bilangan Pelawat

3659361
Hari Ini: 680
Jumlah Pelawat: 3,659,361

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2026 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM