
KETUA PENGARAH JHEV ATM BERAMAH MESRA BERSAMA KVKM TERENGGANU DALAM PROGRAM KEMBARA BERMOTOSIKAL JELAJAH SELATAN THAILAND MENJEJAKI PENINGGALAN PENGGANAS PKM
LENGGONG, 9 MEI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, telah menyantuni Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) Cawangan Terengganu dalam satu program santai “Kembara Bermotosikal Jelajah Selatan Thailand Menjejaki Peninggalan Pengganas Parti Komunis Malaya (PKM)” dekat sini pada Jumaat.
Program ini melibatkan 54 veteran ATM, kebanyakan mereka adalah bekas anggota yang pernah berkhidmat semasa Operasi Gubir 1976 — sebuah misi strategik semasa era darurat. Para peserta menjejak semula lokasi-lokasi penting di sekitar Betong, Thailand, yang suatu masa dahulu menjadi kubu kuat pengganas PKM, dan kini berfungsi sebagai tapak pelancongan bersejarah.
Turut hadir ialah Pengarah JHEV Cawangan Negeri Perak, Mejar Noor Yahya bin Sulaiman serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM dari seluruh Negeri Perak.
Program ini bukan sahaja mengimbau sejarah perjuangan menentang pengganas komunis, tetapi juga menjadi medium menyemai semangat setiakawan serta gaya hidup sihat. Ia turut bertujuan mengumpul dana untuk Tabung Pahlawan KVKM, yang akan digunakan bagi kebajikan dan pembangunan ahli kelab.
Dato’ Semaon Marjuki menzahirkan sokongan dan penghargaan kepada para veteran serta menyifatkan program seperti ini sebagai inisiatif bermakna dalam memperkukuh semangat patriotisme dan kesinambungan hubungan antara veteran dan pihak kerajaan, katanya dalam satu kenyataan.
KVKM turut menyuarakan harapan agar program sebegini mendapat sokongan berterusan daripada pihak JHEV ATM dengan harapan ianya akan disertai oleh lebih ramai lagi veteran ATM dari seluruh negara pada masa akan datang.