Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Berita

PENGORBANAN DAN JASA DIIKTIRAF: 817 VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA TERIMA PINGAT JASA MALAYSIA (PJM)

KUALA LUMPUR, 4 JUN 2025 - Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato' Azhan bin Hj. Md. Othman telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 817 orang Veteran ATM, balu serta wakil waris di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur dekat sini hari ini.

Majlis penganugerahan PJM telah dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM yang telah bermula sejak 3 Mac 2004. Penganugerahan pingat ini merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka semasa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Kejayaan bekas anggota tentera membanteras ancaman komunis selain memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut, telah melayakkan mereka dianugerahkan dengan PJM. Diantaranya adalah;

a. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau,

b. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) atau,

c. Telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas Parti Komunis Kalimantan (PKKU) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.

YBhg. Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain dan YBhg. Leftenan Jeneral Dato' Azhan Hj. Md. Othman menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima PJM pada hari ini. Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal veteran ATM. Malah, aspek kesejahteraan veteran ATM telah menjadi salah satu teras utama dalam pelan strategik kementerian ini.

Sehubungan itu, JHEV ATM yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Yang Berbahagia Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki akan meneruskan skim-skim bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan untuk anak-anak veteran ATM dan inisiatif perumahan sedia ada serta menambah baik perkhidmatan dalam agenda memperkasakan kebajikan veteran ATM disamping akan memberi keutamaan dalam usaha untuk mencari pendekatan terbaik dalam meningkatkan taraf kehidupan veteran ATM khususnya dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar kini.

Penganugerahan ini merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara. Sesuai dengan tarafnya sebagai "Campaign Medal" yang berlandaskan pengorbanan dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi semasa darurat dahulu, PJM telah dimartabatkan sebagai pingat yang lebih kanan dalam susunannya berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).

Pengurniaan PJM ini adalah refleksi terhadap suatu pengorbanan yang amat besar, yang diiktiraf oleh rakyat dan negara dalam menggalas tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dengan penuh taat setia. Justeru itu, masyarakat amnya haruslah menghargai jasa dan pengorbanan para pahlawan negara sehingga negara ini dapat mengecapi keamanan yang sama-sama kita nikmati pada saat ini. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu JHEV ATM kerana telah berjaya menganjurkan Majlis Penganugerahan PJM pada hari ini, katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir dalam Majlis Penganugerahan ini ialah, Panglima 4 Div, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Azmizal bin Ahmad Natal, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Panglima 12 Bgd, Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi bin Abu Bakar, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Muhamad Shakir bin Salleh, Pemangku Asisten Ketua Staf Sekretariat Markas Tentera Laut, Kapten Md Zaman bin Hassan TLDM, Ahli Majlis Veteran Kebangsaan, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz bin Ibrahim (B), Mejar Jeneral Dato’ Haji Muhammad Mudzamir Ong bin Abdullah TUDM (B) dan Mejar Dato’ Haji Sazali bin Haji Ismail (B), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bilangan Pelawat

3418361
Hari Ini: 528
Jumlah Pelawat: 3,418,361

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2024 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM