Berita

PROGRAM PEDULI VETERAN ATM NEGERI KEDAH

YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan telah melaksanakan Program Peduli Veteran (PPV) peringkat Negeri Kedah diiringi Mejar Jeneral Zambery Jefry bin Haji Darus, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV). Pada program kali ini, YB Adly telah melaksanakan lawatan kebajikan dan menyantuni empat orang Veteran ATM di sekitar Langkawi. Program Peduli Veteran yang dijalankan merangkumi lawatan kebajikan ke rumah veteran yang memerlukan bantuan dan yang mengalami sakit kritikal, uzur serta hidup dalam keadaan daif. Disamping bertanya khabar, turut diselitkan penyerahan bantuan peralatan pesakit seperti katil pesakit, kerusi roda, tongkat, lampin pakai buang dan susu serta penyampaian sumbangan wang tunai dan kotak makanan pada veteran yang diziarahi.
Pada hari ini, YB Timbalan Menteri Pertahanan menyantuni empat Veteran ATM tidak berpencen iaitu Encik Arif bin Abd Rahman (1053711) yang berusia 61 tahun di Kampung Penarak, Kuah. Isteri veteran, Puan Noriah binti Ahmad, 60 tahun mengidap sakit kencing manis (tumit kanan dipotong). Veteran yang bekerja sebagai nelayan adalah penerima Bantuan Sara Hidup JHEV ATM. Lawatan kebajikan ke atas veteran kedua Encik Adnan bin Mustaffa (179667), berusia 67 tahun yang menghidap sakit saraf di Kg Seberang Kelibang, Kuah. Veteran adalah penerima Bantuan Sara Hidup, Bantuan Peralatan Sakit dan bantuan susu. Veteran yang tidak dapat bergerak dijaga oleh anak-anak beliau. Veteran ketiga yang diziarahi ialah Encik Rahmat bin Shaari (1048420) berumur 72 tahun dan mengidap sakit tua di Kg Kumpulan A, Ulu Melaka. Beliau tinggal bersama isteri, Puan Noriah binti Darus yang mengidap penyakit saraf, parkinson dan kemurungan. Manakala veteran keempat iaitu Encik Teh bin Md Saman (1035266) berumur 82 tahun di Kg Belak, Mukim Kedawang yang mengalami strok pada tangan kanan. Veteran hidup sebatang kara dan menumpang rumah adik beliau menerima Bantuan Sara Hidup dan semua bantuan khas kewangan melalui JHEV ATM.
YB Timbalan Menteri Pertahanan juga telah menjejaki usahawan Veteran ATM yang menceburi perniagaan melalui Program Peduli Veteran (PPV) kali ini. Dua usahawan Veteran ATM yang dijejaki ialah Encik Muhammad bin Jaafar (9000410) yang menjadi agen jualan kerepek pisang dan Encik Mohd Azam bin Ibrahim (533557) yang mengusahakan warung jualan makanan di Kg Bubor Temonyong, Mukim Kedawang. Inisiatif jejak usahawan Veteran ATM ini merupakan usaha untuk mengenal pasti usahawan Veteran ATM bagi tujuan pengumpulan data usahawan Veteran ATM di seluruh negara disamping mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan Veteran ATM melalui platform media sosial JHEV.
Program Peduli Veteran merupakan salah satu manifestasi Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan Veteran ATM dalam memastikan agenda kebajikan Veteran ATM dan tanggungannya sentiasa diutamakan. Impak positif berjaya direalisasikan daripada inisiatif Program Peduli Veteran yang amat bermakna ini dalam agenda memastikan kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM terus terbela dan sentiasa terpelihara sejajar dengan jasa bakti dan pengorbanan yang Veteran ATM curahkan selama ini dalam menentukan keamanan dan keselamatan negara. Lebih ramai Veteran ATM yang terkesan berjaya disantuni bagi mendengar keluh kesah mereka secara bersemuka dan mampu meningkatkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat. Program Peduli Veteran di seluruh negara akan diteruskan dengan sasaran sekurang-kurangnya sebanyak 800 program dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan semua Veteran ATM di seluruh negara dapat menikmati bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM. Bagi tahun 2023, JHEV ATM telah memperuntukkan sebanyak RM 62,570,474.35 juta bagi pembayaran Skim Bantuan Kebajikan kepada Veteran ATM dengan peningkatan bayaran Bantuan Sara Hidup melibatkan seramai 26,551 orang penerima. Kadar ini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tahun 2022 berikutan program perluasan dan pemanjangan BSH kepada lebih ramai Veteran ATM. Justeru, Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi Program Peduli Veteran melalui siri lawatan kebajikan yang akan datang agar tiada Veteran ATM yang terpinggir daripada menerima insentif yang disediakan.