
58 VETERAN ATM DIIKTIRAF JASA DAN PENGORBANAN, YB MENTERI PERTAHANAN ANUGERAH PINGAT JASA MALAYSIA
TAWAU, 29 JUN 2025 – Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin hari ini telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 58 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), balu serta wakil waris dalam satu majlis penuh penghargaan yang berlangsung di Hotel Royal Borneo, Tawau. Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyanjung jasa dan pengorbanan wira negara yang telah mempertahankan tanah air semasa era insurgensi komunis. Menurut beliau, “Pingat ini bukan sekadar simbol penghargaan, tetapi ia melambangkan amanah kita untuk terus menjaga keamanan yang diperjuangkan oleh para veteran ATM.” Dalam kita mengenang jasa perwira negara dan menghayati sejarah perjuangan mereka, kita juga harus mengambil iktibar demi masa depan yang lebih sejahtera. Oleh itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi beberapa mesej penting dalam konteks pertahanan Sabah dan Malaysia. Pertama, meskipun Sabah kini dalam keadaan aman, kekuatan benteng pertahanan di wilayah ini masih perlu diperkasa secara berterusan. Menteri Pertahanan menegaskan bahawa kerajaan mengambil serius terhadap bentuk ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan tidak lagi terhad kepada ancaman tradisional. Kini, kita menyaksikan kemunculan ancaman bukan tradisional seperti serangan siber, ekstremisme ideologi, jenayah rentas sempadan dan penyebaran maklumat palsu. Di Sabah khususnya, risiko ini lebih ketara kerana kedudukannya yang terdedah di sempadan timur negara. Justeru, MINDEF dan ATM komited mengaturgerak pelbagai aset dan operasi ketenteraan secara bersepadu untuk melindungi sempadan Sabah sepanjang masa. Melalui Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP), penekanan khusus turut diberikan dalam usaha dan strategi menangani ancaman baharu ini. Kehadiran beliau ke Sabah bukan sekadar urusan rasmi, tetapi sebagai simbol jaminan kerajaan bahawa Sabah akan terus selamat dan sejahtera. Kedua, beliau menekankan bahawa usaha mempertahankan keamanan Sabah adalah tanggungjawab bersama antara anggota ATM dan masyarakat sivil, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Dalam konteks ini, setiap individu mempunyai peranan dalam pertahanan negara. Oleh itu, penganjuran Karnival CIMIC bertujuan mendidik komuniti setempat tentang kepentingan kerjasama antara masyarakat awam dan ATM dalam pertahanan menyeluruh. Pendekatan “Whole-of-Society” dan “Whole-of-Government” diharap dapat menyumbang kepada pembentukan benteng pertahanan yang lebih kukuh, terutama dengan kemunculan pelbagai bentuk ancaman yang memerlukan strategi baharu dan lebih berkesan. Sebagai langkah konkrit, kawalan sempadan dan perairan Sabah telah diperkukuh melalui kerjasama antara cabang-cabang ATM, ESSCOM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ketiga, kerajaan akan terus mengangkat kebajikan veteran ATM sebagai agenda utama Kementerian Pertahanan. Kebajikan veteran bukan sahaja memantapkan moral dan mental para anggota, tetapi juga sebagai penghargaan atas jasa mereka. Beliau berkongsi bahawa peruntukan kepada JHEV ATM telah dinaikkan kepada RM280 juta bagi tahun 2025, meningkat daripada RM266 juta pada 2024, RM118 juta pada 2023 dan RM92 juta pada 2022. Peningkatan ini bertujuan membiayai program kebajikan dan kemudahan perubatan veteran, seperti Bantuan Sara Hidup, Bantuan Perubatan, Bantuan Pendidikan Anak-anak, serta Inisiatif Perumahan Veteran. Kerajaan juga telah menambah baik Faedah Hilang Upaya (FHU) dengan pelaksanaan kadar dan cakupan baharu, termasuk peluasan kelayakan Pencen Hilang Upaya (PHU), peningkatan elaun pelajaran dan layanan, serta pemberian Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada anggota ATM yang cedera semasa bertugas. Dengan penambahbaikan ini, kebajikan veteran yang mengalami kecederaan akan lebih terbela dan diberi perhatian sewajarnya. “Perjuangan tuan-tuan dan puan-puan tidak akan dilupakan. Ia akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk membina Malaysia yang lebih kuat,” ujar beliau sambil menzahirkan penghargaan kepada semua penerima PJM. Banyak yang boleh dipelajari daripada kisah perjuangan veteran, sama ada tentang keberanian dan disiplin, mahupun semangat juang dan cinta kepada negara. Wira-wira baharu perlu bersedia bukan sahaja di medan tempur, tetapi juga dalam bidang teknologi, keselamatan siber, diplomasi pertahanan dan pengurusan krisis. “Kita mahu anak-anak Sabah dan seluruh Malaysia menjadi pejuang masa hadapan yang sentiasa bersedia mempertahankan tanah air daripada apa jua bentuk ancaman. Kepada semua penerima Pingat Jasa Malaysia, sekali lagi saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih. Kami di Kementerian Pertahanan dan ATM tidak akan berhenti berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan veteran terus terpelihara. Dengan semangat Malaysia MADANI, marilah kita terus berganding bahu membina negara yang lebih gagah, aman dan dihormati di mata dunia,” tambah beliau. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Darat, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Masro bin Kaliwon TUDM; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Tuan Mohd Yani bin Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Datin Roszanina binti Wahab; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Mohd Sofi bin Md Lepi; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato' Haji Noorrul Azril bin Ariffin; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki; Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail; serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Negeri Sabah.