
LAPORAN PENGAMBILAN RENJER KOMUNITI (PERHILITAN) SIRI 2/2025 - ZON UTARA
Program ini merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM, serta JHEV ATM Cawangan Negeri Perak, yang bertindak sebagai panel temuduga sepanjang sesi pemilihan berlangsung.
Proses temuduga dimulakan dengan pemeriksaan dokumen oleh pihak JHEV ATM bagi memastikan kelayakan asas setiap calon. Seramai 52 orang veteran ATM hadir daripada 82 calon yang tersenarai untuk menghadiri sesi pemilihan tersebut.
Penilaian fizikal dan kesihatan dilakukan secara menyeluruh, merangkumi beberapa komponen berikut:
1. Indeks Jisim Badan (BMI)
2. Pemeriksaan Tubuh Badan
3. Ujian Penglihatan
4. Pengecaman Warna
5. Lari Ulang Alik (4 x 10 meter)
6. Bangun Tubi (1 minit)
7. Tekan Tubi (1 minit)
8. Lompat Jauh Berdiri
Sepanjang sesi pemilihan, seorang calon veteran didapati gagal melepasi tapisan dokumen atas faktor pemberhentian perkhidmatan di bawah tindakan tatatertib, dan seterusnya tidak layak untuk meneruskan proses temuduga.
Calon-calon veteran ATM yang berjaya melepasi semua peringkat pemilihan akan dihubungi oleh pihak PERHILITAN dalam masa terdekat untuk lantikan sebagai Renjer Komuniti. Usaha ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya baharu kepada para veteran, malah menyokong usaha pemeliharaan biodiversiti negara melalui sumbangan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang keselamatan dan kawalan.