HARI KELUARGA JHEV ATM 2024
PORT DICKSON, 30 NOVEMBER 2024 - Seramai 50 keluarga anggota Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) ATM berkumpul di Port Dickson untuk meraikan Hari Keluarga JHEV ATM 2024 yang bertemakan “Memperkukuh Semangat Kekeluargaan”. Acara yang diadakan di sebuah lokasi rekreasi tepi pantai ini bertujuan mempererat hubungan silaturahim antara keluarga, serta seluruh komuniti JHEV ATM.
Acara yang berlangsung dengan penuh meriah ini dimulai pada seawal pagi hari lagi diisi pelbagai aktiviti pertandingan yang menyeronokkan seperti sukaneka serta permainan sukan keluarga yang menguji kerjasama dan semangat kekeluargaan. Selain itu, terdapat juga sesi perkongsian motivasi serta pameran yang memperkenalkan sejarah serta pencapaian Veteran ATM.
Menurut Ketua Pengarah JHEV ATM, Mej Jen Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, program ini diadakan untuk memberi ruang kepada keluarga JHEV ATM untuk bersantai, berinteraksi, dan membina kenangan indah bersama-sama.
“Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam masyarakat kita di Malaysia ini. Ia merupakan unit kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat. Keluarga memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi individu yang baik. Dari situ akan lahir masyarakat yang berdisiplin dan akan tertegak negara yang cemerlang serta berkualiti tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi," ujarnya lagi.
Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur turut menyampaikan anugerah kepada beberapa keluarga yang telah menunjukkan dedikasi luar biasa dalam menyokong usaha-usaha sosial dan kesejahteraan pekerja. Program di akhiri dengan acara cabutan nombor bertuah kepada semua peserta yang hadir.