
LAWATAN CAKNA KETUA PENGARAH JHEV ATM DI SEKITAR KUALA TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, 10 JULAI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, meneruskan komitmen dalam menjaga kebajikan para veteran menerusi pelaksanaan Program Lawatan Cakna di sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu pada hari Khamis.
Lawatan ini melibatkan aktiviti ziarah ke kediaman enam orang veteran ATM yang memerlukan perhatian serta bantuan. Antara veteran yang terlibat ialah T 80843 Che Wan Jusoh bin Chik di No. 8A, Kampung Kepah, Kuala Berang; T 701378 Salehuddin bin Ahmad di Sungai Galong, Tasik Kenyir; 129627 Omar bin Ismail di No. 1082G, Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering, 21080 Kuala Terengganu; T 651937 Zainal Aripin bin Mamat di Lot 16721, Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus; T 1049419 Ab Rani bin Ab Rahman di A436, Lorong Kapur, Kampung Bharu, Seberang Takir, Kuala Nerus; dan T 7386 Mohd Nor bin Hj Osman di Lot 1283, Belakang Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud, 20400 Kuala Terengganu.
Dalam setiap lawatan tersebut, pihak JHEV ATM turut menyampaikan sumbangan bantuan keperluan asas serta bantuan kebajikan kepada para veteran yang diziarahi. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban mereka, malah menjadi platform penting kepada pihak JHEV ATM untuk menilai secara langsung tahap kesejahteraan dan keperluan sebenar veteran serta waris mereka.
Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon dalam kenyataannya berkata bahawa pendekatan turun padang sebegini adalah penting bagi memastikan tiada veteran ATM atau waris mereka yang tercicir daripada perhatian dan bantuan. “Kita mahu pastikan setiap individu yang pernah berkhidmat untuk negara terus dibela dan dihargai,” katanya.Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini dapat mengukuhkan kerjasama antara JHEV ATM dan komuniti veteran setempat, sekali gus membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan menghargai jasa para wira negara, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah tiada.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kelantan & Terengganu, Mejar Wan Abdullah bin Wan Abd Samad TUDM; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol Azwadi bin Jamian (Bersara); serta pegawai dan staf JHEV. Lawatan ini turut disertai oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan EXTEN Malaysia Negeri Terengganu (PEKEEM) serta wakil dari Persatuan Veteran ATM (PVATM) Hulu Terengganu.