
SESI DIALOG KETUA PENGARAH JHEV ATM BERSAMA PERSATUAN VETERAN ATM NEGERI TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, 9 JULAI 2025 - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah mengadakan Sesi Dialog Bersama Persatuan Veteran ATM dalam Negeri Terengganu bagi usaha mengeratkan hubungan silaturrahim serta memperkukuhkan jaringan komunikasi antara kedua-dua pihak.
Majlis ini diadakan sempena Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah JHEV ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki ke Negeri Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan, kesihatan dan sosioekonomi veteran ATM menjadi fokus utama jabatan dan kementerian selama ini. Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal yang berkaitan dengan Veteran ATM dengan memastikan kesejahteraan mereka terpelihara melalui Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM dalam Pelan Strategik Mindef 2021 – 2025.
Usaha memperkasa veteran ATM juga akan diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan di dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan warga pertahanan.
Setakat 30 Jun 2025, lebih RM 158.8 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai skim bantuan melibatkan 52,971 veteran, termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH), perubatan, persekolahan termasuklah bantuan kemasukan ke IPT dan bencana alam. Seramai 32,544 veteran telah menerima manfaat BSH, dengan kadar bantuan dinaikkan kepada RM500 sebulan sejak 2024. Ketua Pengarah JHEV ATM YBhg. Mej Jen Dato’ Semaon Marjuki berkata demikian semasa merasmikan Sesi Dialog Bersama Persatuan Veteran ATM yang diadakan dekat sini hari ini.
Kempen Tabung Pahlawan (KTP) turut menunjukkan pencapaian membanggakan, dengan kutipan melebihi RM1 juta setakat pertengahan tahun ini. Peruntukan kerajaan kepada JHEV juga meningkat kepada RM280 juta bagi tahun 2025, peningkatan 5.19% berbanding tahun lalu, ujar beliau lagi.
Dalam aspek kerjaya, seramai 458 veteran telah dilantik sebagai Renjer Komuniti, dan 1,000 lagi disasarkan menyertai program PROWIRA tahun ini. Aspek terkait keusahawanan turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan PERNAS, Agrobank dan Affin Islamic Bank Berhad. Bagi inisiatif perumahan veteran, sebanyak 42 rumah bina baharu dan 268 baik pulih telah diluluskan. JHEV ATM juga menyasarkan pemberian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada baki 72,383 veteran ATM yang layak dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
“Veteran adalah tonggak negara. Segala pandangan dan keperluan anda akan terus menjadi keutamaan kami,” tambahnya lagi. Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kelantan dan Terengganu, Mejar Wan Abdullah bin Wan Abd Samad TUDM.
Majlis sesi dialog adalah merupakan platform interaksi yang efektif antara pihak JHEV ATM dengan Veteran ATM, bertujuan untuk membincangkan pelbagai isu, cabaran atau peluang dalam sesuatu bidang. Melalui dialog terbuka, pelbagai masalah atau isu boleh dikenalpasti dan dibincangkan secara kolektif. Ini membolehkan penyelesaian yang lebih praktikal dan inklusif dalam menangani permasalahan yang dihadapi oleh golongan veteran.