Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Berita

MAJLIS PELUNCURAN PROJEK JANAVETERAN BOUSTEAD PLANTATIONS BERHAD DI LADANG TELOK SENGAT

KOTA TINGGI, 8 MEI 2025 - Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek JanaVeteran di Ladang Telok Sengat, hari ini.
Semasa berlangsung, MENHAN telah disambut oleh Pengerusi Boustead Plantations Berhad, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (Bersara) bagi sesi lawatan tapak dan gimik perasmian projek dengan menanam pokok halia serta tandatangan plak pelancaran, sebelum bergerak ke program seterusnya.
Projek Jana Veteran adalah sebuah inisiatif yang digerakkan oleh Boustead Plantations Berhad (BPlant) dengan usahasama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM). Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk membantu veteran ATM menjana pendapatan stabil melalui program pertanian dan membantu usaha kerajaan dalam memperkukuh aspek keterjaminan makanan.
Melalui inisiatif ini, veteran ATM akan diberi peluang untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan tani. Projek ini telah menetapkan dua program khas yang berasaskan pertanian tanaman kontan (cash crop) kepada veteran ATM iaitu Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi serta Program Usahawan Tani Veteran.
Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi adalah merupakan projek rintis (pilot project) yang telah bermula pada bulan Mac 2025 di Ladang Telok Sengat. Melalui program ini, BPlant telah menyediakan 15 plot fertigasi di atas tanah seluas 12 hektar bagi tujuan penanaman halia. Pada skala lengkap, BPlant akan menyediakan tanah seluas 80 hektar di seluruh negara bagi tujuan penanaman.
Selain itu, Projek JanaVeteran juga membuka peluang kepada veteran ATM melalui Program Usahawan Tani Veteran. Melalui program ini, peserta akan diberikan kursus dan latihan bagi memantapkan lagi asas pertanian mereka. Sebagai tambahan, BPlant memberi jaminan untuk membeli semua hasil halia untuk dipasarkan secara pukal dan terus kepada pembeli. Sebagai insentif kepada peserta veteran, BPlant juga memberi jaminan wang pendahuluan hasil daripada keuntungan secara bulanan sebanyak RM2,000.00.
Walaubagaimanapun, pihak BPlant menjangkakan pendapatan bersih kepada setiap peserta dianggarkan sebanyak RM2,000.00 setiap bulan, bergantung kepada faktor-faktor seperti kualiti hasil, cuaca dan lain-lain.
Antara lain, inisiatif ini dijangka akan dapat membantu dari aspek peningkatan taraf ekonomi tempatan dengan memperkasakan ekonomi isi rumah veteran ATM. Ia selaras dengan usaha Kementerian Pertahanan memperkasa institusi veteran ATM dan warga pertahanan dengan memberi penekanan seperti yang digariskan di dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 - Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan warga pertahanan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, YB Tuan Muszadie bin Makmor, ADUN Johor Lama, YB Cik Norlizah binti Noh, Pengarah Urusan BPlant, Datuk Zulkarnain Md Eusope, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Tuan Sophian Isswandy Ismail, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM (PVATM) Johor, Tuan Ibrahim bin Hj Yahaya serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi BPlant, wakil-wakil jabatan dan agensi masyarakat.

Bilangan Pelawat

3418355
Hari Ini: 522
Jumlah Pelawat: 3,418,355

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2024 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM