
LAWATAN KETUA PENGARAH JHEV ATM KEPADA USAHAWAN VETERAN ATM DI PERLIS
KANGAR, 8 MEI 2025 - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, telah mengadakan lawatan kerja ke negeri Perlis hari ini bagi meninjau sendiri kejayaan dan cabaran usahawan dalam kalangan veteran ATM yang giat menjalankan aktiviti keusahawanan selepas bersara daripada perkhidmatan.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif JHEV ATM dalam memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi veteran melalui pendekatan turun padang, dengan objektif mengenal pasti keperluan semasa serta potensi bantuan yang bersesuaian untuk terus menyokong kelangsungan perniagaan mereka.
Antara usahawan veteran yang dilawati ialah En. Mohd Khair bin Abd Rani, 50, veteran Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang kini mengusahakan ladang harum manis seluas 0.5 hektar dengan 70 batang pokok di Kangar. Beliau memohon bantuan berkaitan baja, racun serangga, bahan penggalak dan peralatan pertanian bagi memastikan produktiviti ladangnya dapat dikekalkan.
Lawatan turut melibatkan kunjungan ke premis Puan Robiah binti Kadir, 53, veteran Kor Perkhidmatan Am (KPA) yang menjalankan perniagaan dobi berkonsep ‘drive-thru’ di Arau bersama anaknya. Perkhidmatan disediakan termasuk basuhan, pengeringan dan lipatan pakaian pelanggan yang ditinggalkan di kaunter pandu lalu. Beliau memohon bantuan dalam bentuk sabun dan pelembut pakaian bagi menampung keperluan operasi harian.
Sementara itu, En. Boon Anand A/L Jem, 43, veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini mengusahakan kedai gunting rambut di Pauh, turut dikunjungi. Beliau memulakan perniagaan sejak 2017 dan telah memindahkan operasinya ke lokasi semasa pada tahun 2020. Permohonan bantuan peralatan dan mesin gunting telah dikemukakan bagi tujuan penambahbaikan perniagaan.
YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Marjuki menyatakan rasa bangga terhadap kegigihan para veteran yang terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan. Beliau menegaskan komitmen JHEV ATM dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan bimbingan untuk membantu para veteran berjaya dalam bidang keusahawanan dan kehidupan pasca perkhidmatan. Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melakukan kunjungan.
Turut hadir ialah Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Mejar Mohd. Izmer bin Ghazali TUDM, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol Azwadi bin Jamian (Bersara), dan Puan Irma Jasmin Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM.