
KURSUS TRANSFORMASI PERNIAGAAN PERKASA USAHAWAN VETERAN ATM
KEPALA BATAS, 6 MEI 2025 - Seramai 28 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyertai Kursus Transformasi Perniagaan Veteran ATM yang berlangsung di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kepala Batas, Pulau Pinang. Kursus ini merupakan salah satu inisiatif strategik untuk meningkatkan daya saing serta kemahiran keusahawanan dalam kalangan veteran ATM yang kini menceburi bidang perniagaan.
Program anjuran bersama beberapa agensi berkaitan ini bertujuan membekalkan ilmu praktikal, strategi pengurusan serta sokongan berterusan kepada usahawan veteran bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Taklimat utama disampaikan oleh Encik R. Mohd Andriansyah bin R. Ade Daud, Ketua Bahagian Perhubungan Francais, yang membentangkan topik seperti strategi transformasi perniagaan, asas pengurusan, pemasaran digital serta pengukuhan operasi perniagaan.
Kehadiran Penolong Pengarah Bahagian Kerjaya & Sosioekonomi JHEV ATM, Encik Muhammad Aiman bin Azizan, bersama wakil-wakil staf turut menyerikan program ini.
Para peserta yang terlibat, terdiri daripada usahawan veteran dalam pelbagai sektor, melibatkan diri secara aktif sepanjang sesi dan memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap pengisian kursus. Program ini bukan sahaja membuka ruang peningkatan pengetahuan, malah turut membangkitkan semangat dan motivasi untuk memperkukuh perniagaan masing-masing.
Penganjur berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara konsisten bagi memperkasa komuniti veteran ATM sebagai usahawan berdaya saing dan inovatif.