PROGRAM SEJAHTERA KOMUNITI VETERAN ATM TAHUN 2024
TELUK KUMBAR, 1 DISEMBER 2024 - Program Sejahtera Komuniti Veteran ATM Tahun 2024 telah dilaksanakan bertempat di Pusat Latihan Sukan Air Jabatan Pendidikan Pulau Pinang di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Terdapat 3 komponen utama pelaksanaan program ini iaitu Program Baikpulih Rumah Veteran ATM yang merupakan program sedia ada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan dibantu oleh pihak Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk baikpulih rumah Encik Ismail bin Mohd Kassim, program menyantuni penduduk komuniti dan program penyampaian bantuan kebajikan.
Program yang julung kali diadakan ini merupakan hasil kerjasama antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) JPM dan JHEV ATM bersama komuniti di Kampung Mukim 9, Simpang Tiga, Teluk Kumbar bersama Persatuan Veteran ATM setempat. Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Tuan Sophian Isswandy bin Ismail yang mewakili YBhg. Dato' Ketua Pengarah JHEV ATM, bagi memberi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Aktiviti gotong-royong membersihkan pantai bersama komuniti setempat telah diadakan bagi menyantuni penduduk kampung, termasuk Veteran ATM. Dalam pada itu, pihak Jabatan berterima kasih di atas penglibatan 15 orang wakil dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang yang turut serta menjayakan program gotong-royong tersebut. Hampir 1 tan sampah berjaya dibersihkan dalam program ini yang juga diraikan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Malaysia yang jatuh pada 21 Oktober yang lalu.
Dalam Ucapan nya, Timbalan Ketua Pengarah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah berkerjasama dalam menjayakan program ini. Beliau memberi penghargaan khas kepada Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Persatuan Veteran ATM, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang serta semua agensi yang telah memberi sokongan sepanjang program ini. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada masyarakat setempat serta Veteran ATM yang terlibat menjayakan program gotong-royong dan warga kerja JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan JHEV ATM Cawangan Pahang yang telah bekerja keras untuk memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.
Hadir sama semasa lawatan tersebut ialah Puan Irma Jasmin Ishak, Pengarah Bahagian Kerjaya Sosioekonomi (BKS) JHEV ATM, Mejar Mohd Izmer bin Ghazali TUDM, Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis & Pulau Pinang, Encik Mohd Fauzi bin Mohd Said, Pengarah Seksyen Perancangan Strategik dan Puan Norma binti Abd Razak, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JASPP).