
TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN TERUSKAN PROGRAM SANTUNI VETERAN ATM - DAERAH SEPANG DAN SABAK BERNAM
PVM Sabak Bernam adalah merupakan lokasi kedua dalam bulan ini setelah Timbalan Menteri Pertahanan menyempurnakan PVM di Daerah Sepang pada 14 April 2025, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 30 orang Veteran ATM telah disantuni bagi kedua-dua program. Antara yang dilawati adalah Veteran ATM yang hilang upaya, sakit kronik, pedalaman serta balu yang mana tiga orang daripada mereka adalah merupakan usahawan berasaskan makanan.
Semasa berlangsung, Timbalan Menteri Pertahanan turut menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia kepada 9 orang veteran ATM dan balu, menyampaikan bantuan komputer riba kepada salah seorang anak asnaf veteran ATM yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia serta mengagihkan 250 kotak berupa sumbangan Rahmah kepada persatuan Veteran ATM Daerah Sepang dan Sabak Bernam. PVM adalah usaha yang diambil oleh Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk menyantuni Veteran ATM secara bersemuka sekali gus mengenal pasti keperluan mereka.
Selain itu, usaha memperkasa Veteran ATM akan sentiasa diperkemaskan lagi melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan dalam memperkukuh ekosistem kesejahteraan warga
pertahanan. Ia termasuklah mempelbagaikan sumber dan mempertingkatkan sumbangan kutipan Kempen Tabung Pahlawan yang akan berakhir pada 31 Julai setiap tahun.
Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Aswadi bin Jamian (B), Pengarah JHEV ATM Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Komander Mohd Kamal Irfan bin Hassan Sabri TLDM, serta persatuan-persatuan veteran ATM Negeri Selangor.