
MESYUARAT MAJLIS VETERAN KEBANGSAAN (MVK) BIL. 13/2025
KUALA LUMPUR, 22 APRIL 2025 - Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang pertama bagi tahun 2025 telah dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin dan dilaksanakan di Bilik Mesyuarat Sunga Raya, Wisma Pertahanan. MVK telah diwujudkan di bawah Akta Veteran 2012 adalah bertujuan untuk merumus, menyelaras dan memantau dasar utama dan pelan tindakan yang berhubung dengan hal ehwal Veteran ATM.
Di samping itu, MVK juga berperanan menasihat dan membuat syor mengenai penggubalan undang-undang atau pindaan undang-undang sedia ada bagi menjamin kebajikan dan kepentingan Veteran ATM. MVK turut bertindak sebagai badan pemantau kepada semua persatuan veteran di Malaysia.
Sebelum mesyuarat, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Pengerusi MVK telah menyampaikan Sijil Lantikan kepada Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar, Panglima Angkatan Tentera sebagai Ahli Lantikan MVK dan Mejar Jeneral Dato' Ts. Reizal Arif bin Tan Sri Ismail, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota sebagai Ahli Tetap MVK. Upacara ini turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan merangkap Timbalan Pengerusi MVK, YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan dan Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ketua Pengarah JHEV ATM merangkap Setiausaha MVK serta Ahli-ahli MVK yang lain.
Antara agenda yang dibincangkan adalah mengenai Cadangan Mewujudkan Jawatan Pegawai Undang-undang di JHEV ATM, Penstrukturan Persatuan-persatuan Veteran ATM, Pembentangan Pelaksanaan Penambahbaikan Faedah Hilang Upaya (FHU), Laporan lnisiatif Perumahan Veteran ATM dan Tambahan Pegawai Pengurnia bagi Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) serta Pemberian Bantuan Kebajikan kepada Bekas Tentera.
Aspek kesejahteraan veteran adalah salah satu teras utama dalam Pelan Strategik Kementerian Pertahanan iaitu Teras ke-7: Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Empat strategi yang digariskan bagi mendukung teras ini adalah seperti berikut:
a. Peningkatan Taraf Sosioekonomi.
b. Penambahbaikan Pengurusan Kemudahan Bantuan Kebajikan.
c. Peningkatan Kualiti Hidup.
d. Pengiktirafan Jasa Pejuang Negara.